KUALA LUMPUR 4 Dis. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang bekas Menteri Kesihatan, Chua Jui Meng yang meninggal dunia petang semalam.
Beliau berkata mendiang merupakan figura yang telah banyak menabur bakti kepada negara, khususnya selaku menteri kesihatan paling lama, selama sembilan tahun dari 1995 hingga 2004.
Selain itu beliau berkata Chua turut memainkan peranan penting sepanjang bersama Keadilan, tatkala mengemudi pimpinan parti itu di Johor.
“Segala jasa dan pengorbanannya pasti dikenang rakyat serta rakan-rakan yang sama turut sama berjuang untuk negara tercinta. Saya doakan urusan keluarganya dipermudah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Chua, 80, meninggal dunia di Hospital Serdang semalam pada pukul 4.04 petang.
Berita kematiannya dimaklumkan anaknya, Damien Chua tanpa memperincikan lanjut sebab pemergiannya.
“Dengan sedih dimaklumkan bahawa Datuk Dr Chua Jui Meng telah kembali untuk bersama Tuhan (meninggal dunia) hari ini. Beliau kini sudah mencapai kehidupan kekalnya,” katanya.
Mendiang sebelum ini pernah menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kesihatan selama sembilan tahun bermula pada 1995 hingga 2004 dan menjadi wakil rakyat bagi Parlimen Bakri selama lima penggal dari 1986 hingga 2008.
Beliau pernah bersama MCA dan menjadi naib presiden parti itu, sebelum menyertai PKR pada 2009, kemudiannya menggalas tugas sebagai Pengerusi PKR Johor dan Naib Presiden PKR.
