Pengecualian visa tidak abai keselamatan

KUALA LUMPUR: Agensi keselamatan sudah diarah memperkuatkan tapisan keselamatan supaya kemudahan pengecualian visa kepada beberapa negara baru-baru ini tidak menjejaskan keselamatan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mungkin ada yang gusar berikutan pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat Chiba dan India tetapi aspek keselamatan negara tidak akan diabaikan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini.

Baru-baru ini, kerajaan memberi pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China dan India ke Malaysia bermula 1 Disember depan, dalam semangat kerjasama strategik hubungan dua hala Malaysia-China yang genap 50 tahun tahun depan.

Anwar berkata, ia adalah tambahan kemudahan pengecualian visa sedia ada yang kini dinikmati rakyat dari negara Teluk dan beberapa negara Asia Barat.

Sementara itu Perdana Menteri turut meminta pengurusan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengendalikan sendiri aset kelengkapan masing-masing tanpa campur tangan pihak luar termasuk kerajaan.

Katanya, ia berikutan agensi terbabit kerap berdepan masalah berkaitan perolehan, sekali gus bermakna ATM bertanggungjawab sepenuhnya jika berlaku masalah teknikal atau pelaksanaan.

Kementerian Kewangan hanya akan berunding dari segi kos aset kelengkapan.

Sebaiknya, kita runding tanpa melalui ejen dan terus dengan kerajaan berkaitan.

“Kita sudah mula (rundingan) dengan Turkiye, Korea Selatan dan Itali, kalau ada apa-apa yang diputuskan maka itu adalah keputusan sendiri, kalau Tentera Laut dia putuskan (untuk aset kelengkapan Tentera Laut).

“Kalau tidak, berbilion ringgit akan tiris tanpa dapat dikawal. Soal keselamatan dan kelengkapan sangat kritikal dan kita tidak mampu berbelanja puluhan bilion ringgit dan menyaksikan kelengkapan yang sangat daif ketimbang keupayaan negara lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, pengurangan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baharu bukan bertujuan menggalakkan maksiat berikutan ada syarat ketat perlu dipatuhi.

Perdana Menteri turut menyentuh konflik Israel-Palestin dan mengingatkan rakyat supaya tidak menggunakan isu berkenaan bagi menaikkan suhu perbezaan agama dan kaum di negara ini.

“Masyarakat tanpa mengira agama mahupun kaum, perlu memahami pendirian kerajaan menyokong Palestin dan menolak kekejaman Israel adalah kerana aspek kemanusiaan.

“Ada yang tanya mengapa kita memihak hanya kerana Palestin orang Islam, tentu ada kejahilan kefahaman kerana bumi Palestin memang majoriti Arab Muslim tapi ada juga minoriti Kristian,” katanya.

Beliau berkata, rejim Zionis bukan sahaja merobohkan ratusan masjid tetapi turut memusnahkan tujuh gereja yang jelas menunjukkan ia adalah kezaliman kemanusiaan.

Related posts

Leave a Comment