SHAH ALAM 24 Nov. – Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung tahun depan dan secara tidak langsung akan mula memperlahankan kerjaya politiknya.
Justeru, katanya, Perhimpunan Agung Bersatu 2023 yang sedang berlangsung menjadi yang terakhir disertainya sebagai Presiden.
“Ini adalah Perhimpunan Agung Tahunan terakhir (untuk) saya berdiri di pentas ini sebagai Presiden. Ini kerana pemilihan parti akan datang akan dibuat di peringkat bahagian terlebih dahulu sebelum perhimpunan agung diadakan.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua pimpinan dan ahli Bersatu… jika saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang memimpin parti. Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden Bersatu hari ini.
Dewan yang mulanya tenang mendengar ucapan dasar itu bertukar kecoh seketika apabila perwakilan bangun tidak menyokong hasrat tersebut dan meminta Muhyiddin menarik balik hasrat tersebut.
Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Bersatu itu dibuat untuk memberi ruang kepada pemimpin pelapis berpengalaman mengambil alih kepemimpinan mengikut proses demokrasi, selain meneruskan agenda perjuangan parti.
Sehubungan itu, beliau mendoakan proses peralihan kepemimpinan Bersatu nanti akan berlangsung penuh tertib dan harmoni, hasil kesatuan hati dan semangat setiakawan tinggi dalam kalangan barisan kepimpinan dan ahli Bersatu.
“Junjunglah Perlembagaan parti. Elakkan perpecahan. Utamakan perpaduan supaya parti dapat bangkit dengan lebih gagah dan sakti selepas ini,” katanya.
Muhyiddin juga percaya Bersatu akan diterajui pasukan pemimpin hebat dan berpengalaman luas sejurus tiba masanya untuk beliau mengundurkan diri sebagai Presiden nanti.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) juga mencadangkan kepemimpinan kanan Bersatu bermesyuarat bagi memastikan tokoh berpengalaman luas dalam parti itu mempunyai tempat dan peranan dalam barisan kepemimpinan yang baharu.
Sementara ketika sidang media, Muhyiddin berkata, beliau akan memperlahankan kerjaya politiknya, sejurus mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Bersatu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan akan kekal sebagai ahli Bersatu, selain memaklumkan yakin pengumuman tidak mempertahankan jawatannya itu akan mendapat sokongan akar umbi.
“Saya sudah meneliti panjang (cadangan tidak mempertahankan jawatan Presiden Bersatu). Saya sudah 63 tahun dalam arena politik, bukan hanya dalam Bersatu sahaja.
“Parti tidak boleh terlalu bergantung hanya kepada saya kerana ramai lagi tokoh politik berkaliber (dalam Bersatu). Mereka boleh lakukan, jika diberi peluang untuk menerajui parti,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu mengakui tidak bersetuju dengan pengumuman Muhyiddin, selain menjelaskan akan mencari kaedah terbaik dan mempertimbangkan pandangan akar umbi.
“Saya sangat terkejut dan tidak bersetuju dengan pengumuman ini. Kita akan beri peluang kepada akar umbi memberi pandangan mereka dan mencadangkan pembahas menyuarakannya pada perhimpunan kali ini,” katanya.
Manakala Setiausaha Agung, Hamzah Zainudin pula berkata, keputusan Muhyiddin tidak mempertahankan jawatan Presiden itu belum dimuktamadkan, selain menegaskan ia perlu diputuskan secara konsensus pada perhimpunan kali ini.
“Ia baru cadangan dan saya tidak mahu perkara ini diperbesarkan. Saya nak maklumkan, tadi baru ucapan Muhyiddin, jangan persoalkan kerana kita belum buat keputusan mengenainya,” katanya.
