JAKARTA: Pasangan Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka memperoleh nombor dua dalam kertas undi senarai calon bagi Pemilihan Presiden 2024 (Pilpres 2024) Indonesia Februari depan.
Bagi Prabowo, hasil pengundian nombor yang diperoleh kali ini sama dengan nombor pada pemilihan 2019 ketika beliau bergandingan dengan Sandiaga Uno.
Manakala nombor satu pula menjadi milik pasangan Anies Rasyid Baswedan-Muhaimin Iskandar dan di tempat ketiga senarai calon Pilpres 2024 ialah pasangan Ganjar Pranowo-Mahfud MD.
Nombor giliran berkenaan akan diguna oleh kesemua calon Presiden dan Naib Presiden sepanjang kempen berlangsung sehingga hari pengundian pada 14 Februari 2024 kelak.
Nombor kedudukan dalam senarai Pilpres 2024 itu diperoleh berdasarkan undian calon-calon Presiden dan Naib Presiden yang berlangsung di ibu pejabat Komisi Pemilihan Umum (KPU) di sini, malam tadi.
Kesemua calon pasangan Presiden dan Naib Presiden melakukan cabutan sendiri nombor giliran masing-masing.
Hadir sama pada acara pemilihan nombor giliran Pilpres 2024 ialah pimpinan tertinggi parti-parti politik serta pasukan kempen kubu masing-masing.
KPU Indonesia sebelum itu mengumumkan senarai muktamad calon Presiden dan Naib Presiden yang akan menyahut cabaran dalam Pilpres 2024 bagi memilih pimpinan baharu.
Tiga pasangan penggiat politik yang disenaraikan secara rasmi oleh KPU ialah pasangan Anies Baswedan dan Muhaimin Iskandar; Ganjar Pranowo dan Mahfud MD serta Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming.
(Foto FB Prabowo)
