Gaza mesti jadi sebahagian Palestin

ANKARA: Gaza mesti menjadi sebahagian daripada negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, sebaik sahaja perang Israel-Pelastin berakhir, kata Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Pada masa yang sama, Ankara tidak akan menyokong sebarang rancangan ‘memadamkan rakyat Palestin secara beransur-ansur’ daripada sejarah dan menggesa gencatan senjata segera dan menawarkan penubuhan sistem untuk menjaminnya.

Bercakap kepada pemberita dalam penerbangan pulang dari Kazakhstan, semalam Erdogan turut mengulangi kritikannya terhadap negara-negara Barat ekoran sokongan mereka terhadap Israel.

Malah berkata, kepercayaan Ankara terhadap Kesatuan Eropah ‘sangat goyah’.

“Apabila semua yang berlaku ini selesai, kami mahu melihat Gaza sebagai wilayah aman yang menjadi sebahagian daripada negara Palestin yang merdeka, sejajar dengan sempadan 1967, dengan integriti wilayah dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

“Kami akan menyokong formula yang akan membawa keamanan dan ketenangan ke rantau ini. Kami tidak akan menyokong rancangan yang akan menggelapkan lagi kehidupan rakyat Palestin dan secara beransur-ansur cuba memadamkan mereka dari sejarah,” kata Erdogan.

Beliau juga berkata, ketua perisikannya Ibrahim Kalin juga akan berhubung dengan pihak berkuasa Israel dan Palestin termasuk Hamas.

Namun, beliau tidak akan menganggap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai rakan sejawat.

“Netanyahu dalam apa cara sekalipun tidak boleh dianggap sebagai rakan sejawat bagi kami lagi. Kami sudah memadamkannya, membuangnya. Tetapi sebaliknya, tiada perkara seperti memutuskan hubungan sepenuhnya, terutamanya bukan dalam diplomasi antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, Turkiye juga akan menyokong sebarang inisiatif untuk memastikan Israel bertanggungjawab atas apa yang disifatkannya sebagai jenayah perang dan pencabulan hak asasi manusia dan kegagalan berbuat demikian akan menghakis kepercayaan terhadap sistem global.

Related posts

Leave a Comment