KATHMANDU: Keadaan di Gaza semakin teruk Israel ketika Israel memperhebatkan operasi ketenteraannya, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.
Justeru beliau mengulangi rayuan gencatan senjata bagi menamatkan “mimpi ngeri” pertumpahan darah.
“Keadaan di Gaza semakin terdesak dari semasa ke semasa. Saya kesal kerana jeda kemanusiaan yang disokong oleh masyarakat antarabangsa amat diperlukan namun Israel memperhebatkan operasi ketenteraannya,” kata Guterres.
Beliau yang dalam lawatan ke ibu kota Nepal, Kathmandu berkata, jumlah orang awam yang terbunuh dan cedera sama sekali tidak boleh diterima.
Selepas beberapa minggu melakukan pengeboman di Gaza, yang meragut lebih 8,000 nyawa, tentera Israel memulakan “peringkat kedua” peperangan dengan pencerobohan darat sejak lewat Jumaat lalu.
Katanya, lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal dan komunikasi terputus gelap selama beberapa hari selepas Israel memutuskan talian internet, walaupun sambungan dipulih secara beransur-ansur awal pagi tadi.
“Lebih daripada dua juta orang, tanpa tempat yang selamat untuk dituju, dinafikan keperluan hidup, makanan, air, tempat tinggal dan penjagaan perubatan ketika berdepan pengeboman tanpa henti. Saya menggesa semua yang bertanggungjawab untuk berundur,” katanya.
Diplomat tertinggi PBB itu tiba di Nepal dalam lawatan empat hari di mana beliau akan melawat glasier yang mencair dengan cepat di Himalaya untuk “melihat sendiri kesan buruk krisis iklim”.
“Saya mengulangi rayuan gencatan senjata kemanusiaan segera, pembebasan tanpa syarat semua tebusan dan bantuan kemanusiaan berterusan pada skala yang memenuhi keperluan penduduk Gaza.
“Kita mesti bergabung tenaga untuk menamatkan mimpi ngeri ini untuk penduduk Gaza, Israel dan semua yang terjejas di seluruh dunia, termasuk di Nepal,” katanya.
Seramai 10 pelajar Nepal terbunuh di Israel ketika serangan pada 7 Oktober lalu dan seorang warga Nepal hilang.
