KUALA LUMPUR 27 Okt. – Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-263 (Khas) bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Mesyuarat yang bermula pukul 10.10 pagi itu dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan semua Raja-Raja Melayu, kecuali Kelantan dan Perlis.
Raja-Raja Melayu yang berangkat ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Turut berangkat Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Mesyuarat khas itu akan menyaksikan pengundian oleh Raja-Raja Melayu bagi memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong baharu.
susulan tempoh lima tahun penggal pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, tamat 30 Januari tahun depan.
Al-Sultan Abdullah melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019 setelah dipilih pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Januari tahun sama.
Menurut Seksyen 2, Bahagian I, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan.
Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran, maka proses pengundian semula akan dijalankan, iaitu dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi.
Susunan penggiliran pertama bermula pada 1957 (bagi pelantikan Yang di-Pertuan Agong) sehingga 1994, dilakukan atas persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, diikuti Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.
Malaysia adalah sebuah daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem penggiliran dalam kalangan sembilan Raja Melayu.
