KUALA LUMPUR 24 Okt. – Cadangan menaikkan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 2 peratus, dari 6 peratus kepada 8 peratus merupakan langkah kurang tepat berbanding sistem percukaian lain yang lebih efisien.
Bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, meskipun kenaikan tidak melibatkan makanan dan minuman, tetapi ini akan memberi kesan berantai kepada semua aspek yang akan turut mendorong kenaikan barang-barang asas.
“Ini kerana peniaga tidak akan menyerap kenaikan cukai dan kos pengeluaran mereka.
“Justeru, saya sekali lagi berpendirian bahawa sudah tiba masanya untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dimansuhkan pada tahun 2018 oleh Kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.
Berucap ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, GST terbukti jauh lebih cekap, telus dan adil berbanding SST.
Beliau berkata, ketika GST dihapuskan, negara hilanhg kira-kira RM20 bilion sehingga RM30 bilion setahun akibat ‘black economy’ kerana kita tidak dapat pantau mereka yang tidak membayar cukai.
“Kenaikan cukai SST hanya memberi hasil tambahan sebanyak RM3 bilion kepada negara malah firma audit antarabangsa, Deloitte meramalkan kenaikan dua peratus SST hanya mampu menambah pendapatan sekitar RM900 juta.
“Adakah ini berbaloi dengan kesan yang akan dihadapi oleh rakyat?,” katanya.
Ahli Parlimen Bera itu juga menyentuh Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), kaedah yang dilaksanakan oleh Kerajaan bagi menggantikan program Basmi Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang juga sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Katanya, ketika program BMTKM dilaksanakan terdapat hampir 130,000 isi rumah yang dikategorikan miskin tegar dalam senarai e-Kasih pada Oktober 2022 berbanding 260,000 isi rumah dalam tempoh yang sama 2021.
“Penurunan hampir separuh jumlah miskin tegar ini adalah kerana pendekatan agresif oleh Kerajaan ketika itu membuka semua sektor ekonomi, dan sempadan dengan pantas serta pandemik Covid-19 telah pulih.
Maka disebabkan itu, kita menetapkan sasaran untuk menghapuskan miskin tegar pada penghujung RMK-12 iaitu tahun 2025,” katanya.
Dalam hal ini, beliau menarik perhatian jawapan Kementerian Ekonomi di Parlimen pada 19 Oktober lalu yang menyatakan jumlah miskin tegar adalah sebanyak 110,663 isi rumah pada September 2023.
Bagaimanapun angka itu berbeza dengan kenyataan Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan baru-baru ini yang menyatakan jumlah miskin tegar adalah 18,000 isi rumah.
“Kenapa wujud perbezaan data yang terlalu besar dalam tempoh yang sangat singkat?. Data-data ini mengelirukan dan saya mohon penjelasan ketika penggulungan nanti,” katanya.
