KUALA LUMPUR 24 Okt. – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab digesa menunjukkan kepada dunia bahawa negara Islam bersatu, terutama dalam mengekang kekejaman berterusan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin.
Bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata OIC dan Liga Arab sebaliknya didakwa hanya bercakap kosong dalam mencari penyelesaian tuntas terhadap isu Palestin.
“Sehingga hari ini, kita kesal tiada satu pun tindakan diambil OIC dan Liga Arab kecuali hanya bercakap kosong. Sepatutnya OIC dan Liga Arab menunjukkan kepada dunia negara Islam bersatu.
“Satu tindakan tegas perlu diambil OIC dan Liga Arab, konflik Palestin dan Israel ini perlu dinoktahkan segera,” katanya berucap pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, sehingga kini kuasa besar termasuk Amerika Syarikat (AS) juga dilihat tidak jujur dalam menyelesaikan isu Palestin.
“Tindakan AS menggunakan kuasa veto menolak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya pembantaian terhadap Palestin dihentikan bagi memberi ruang kepada bantuan kemanusiaan tidak dapat diterima akal sama sekali.
Malah, sokongan daripada negara-negara Eropah seperti United Kingdom dan Perancis terhadap Israel, menjadikan Zionis semakin mengganas.
Buktinya, Israel hilang kewarasan dan tanpa rasa belas ihsan mengebom Hospital Al-Ahli Al-Arabi di tengah Gaza sehingga mengorbankan lebih 500 nyawa yang tidak berdosa dan menjadikan kira-kira 1.6 juta penduduk Gaza tawanan yang menunggu masa untuk dibunuh,” katanya.
Beliau berkata, bedilan roket yang menyasarkan orang awam di Semenanjung Gaza serta rampasan tanah rakyat Palestin adalah jenayah perang yang terang-terang dilakukan oleh Israel dan disokong oleh negara bersubahat.
“Mereka sepatutnya diheret ke Mahkamah Antarabangsa untuk diadili,” katanya.
Katanya, disebabkan itu, ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) tahun lalu, beliau menegaskan supaya isu Palestin dimuktamadkan dan kuasa veto mesti dihapuskan kerana tindak-tanduk seperti AS inilah yang menyebabkan dunia semakin huruhara.
“Saya senada dengan negara-negara Islam lain serta negaranegara seperti Ireland, Sepanyol, Norway, Brazil, Colombia dan Venezuela yang mendesak supaya kegilaan Israel ini dihentikan,” katanya.
Terdahulu mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif OIC yang berlangsung Rabu lalu mengambil 20 pendirian tegas, termasuk menggesa supaya dihentikan serta-merta pencerobohan tentera Israel terhadap rakyat Palestin dan penarikan segera kepungan ke atas Semenanjung Gaza.
Pertubuhan itu juga meminta semua negara anggota menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza dan mendesak pembukaan segera koridor kemanusiaan.
Selain itu, OIC juga menolak secara mutlak sebarang seruan untuk mengambil alih Semenanjung Gaza serta sokongannya terhadap keteguhan rakyat Palestin mempertahankan tanah mereka, sekali gus menolak sebarang usaha untuk memindah keluar penduduk Palestin dari tanahnya.
