PUTRAJAYA 20 Okt. – Sebagai langkah berjimat dan mengelakkan pembaziran, semua Kementerian dan jabatan diarah mengehadkan penganjuran acara, majlis keraian rasmi kerajaan, mesyuarat, seminar dan bengkel yang benar-benar perlu sahaja.
Arahan itu terkandung dalam surat edaran Arahan Kawalan Perbelanjaan Awam Kementerian/Jabatan kepada semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan dan agensi kerajaan bertarikh 18 Oktober 2023.
Ia ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, yang turut menyarankan penganjuran acara atau majlis berkenaan dibuat di premis atau Institusi Latihan Awam (ILA).
Mesyuarat digalakkan diadakan secara dalam talian atau persidangan video, bagi mengurangkan perbelanjaan logitisk, mengoptimumkan masa dan perbelanjaan ke atas tuntutan perbelanjaan.
Turut dinyatakan dalam arahan berkenaan ialah penggunaan sumber utiliti seperti elektrik dan air dan peralatan pejabat secara optimum, dan mengelakkan pembaziran penyediaan makanan dan minuman semasa mesyuarat atau program.
Tempahan tiket penerbangan pula perlu berdasarkan perbandingan harga terbaik bagi mendapatkan nilai untuk wang, membuat perancangan awal dan digalakkan menempah tiket menggunakan kad kredit korporat.
Pada masa sama, arahan turut menyatakan Pegawai Pengawal, perlu mematuhi perjalanan rasmi bertugas ke luar negara seperti terkandung di dalam Arahan Setiausaha Jemaah Menteri Bilangan 1 (2021) serta penjelasan di dalam PB 3.1 (Pindaan 2022).
Ia melibatkan mesyuarat, rundingan berjadual atau berkala atau persidangan yang telah diluluskan dalam belanjawan tahunan dan yang benar-benar penting, memberi impak yang signifikan kepada kepentingan negara, atau ia merupakan mesyuarat atau persidangan yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri.
Pegawai Pengawal dikehendaki melaksanakan kawalan perbelanjaan dengan rapi, mengikut peraturan yang ditetapkan dengan mengambil saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lepas, yang menyentuh aspek penjimatan dan mengelakkan pembaziran sumber kewangan awam serta Pekeliling Perbendaharaan 3.1 (Pindaan 2022) Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam.
Perbelanjaan awam perlulah dilaksanakan dengan berhemat, bersederhana dan selari dengan keperluan sebenar, bagi mengurangkan komitmen kewangan kerajaan dan mengelakkan pembaziran sumber.
Arahan itu mengingatkan Pegawai Pengawal supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti yang termaktub di bawah Seksyen 15A Akta 61.
“Kegagalan pegawai awam mematuhi peraturan kewangan yang sedang berkuat kuasa, boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 18 Akta 61,” kata surat itu.
Pegawai Pengawal merujuk kepada pegawai yang dilantik oleh Menteri Kewangan atau Menteri Besar atau Ketua Menteri di bawah Seksyen 15A Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61), bagi setiap tujuan perbelanjaan yang diperuntukkan bagi mana-mana tahun kewangan dalam anggaran.
Mereka bertanggungjawab untuk mengawal, tertakluk kepada sebarang arahan yang ditujukan oleh pihak berkuasa kewangan, ke atas perbelanjaan yang dikuatkuasakan di bawah tujuan itu dan termasuk semua tanggungjawab Pegawai Perakaunan.
