KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan pembabitannya ke Palestin seperti yang tular di media sosial semalam.
Markas ATM dalam kenyataan malam tadi berkata pihaknya mengesan video tular berdurasi satu minit 36 saat yang disiarkan di platform TikTok menerusi akaun milik adamjohan64 (@adamofficial64).
“ATM sudah meneliti kandungan video berkenaan dan mendapati ia video lama mengenai anggota ATM yang ditugaskan ke misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) bagi Kumpulan Malaysian Battalion 850- 10 (MALBATT 850-10) ke Lubnan pada 2022.
“Justeru, ATM menafikan kandungan video tular berkenaan dan mengesahkan ia adalah tidak benar sama sekali,” katanya.
Kenyataan itu meminta masyarakat supaya tidak membuat sebarang andaian atau menularkan sebarang perkara yang tidak pasti atau berita palsu kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.
“Adalah ditegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” kata kenyataan itu
Video yang meraih lebih 1.4 juta tontonan memaparkan penghantaran satu batalion dengan memuat naik keterangan video ‘kita doakan perwira kita selamat pergi dan selamat pulang. Satu batalion sudah siap sedia (anggaran 10,000 anggota otw (dalam perjalanan) ke Palestin’.
