NILAI : Dua orang pelajar siswazah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan lebih 20 orang ahli keluarga mereka adalah antara mangsa korban akibat serangan bom rejim Zionis di Gaza, Palestin pada pagi Ahad yang lalu.
Mohammed J. H. Alzaanin, calon Doktor Falsafah Pengurusan Sumber Manusia dan isterinya, Kholoud M. H. Elzaneen pelajar Program Sarjana Sains (Mod Penyelidikan), Fakulti Sains dan Teknologi USIM terkorban dalam serangan bom yang berlaku di perkampungan mereka di Bait Hanon kira-kira jam 8 pagi.
Turut terkorban adalah empat orang anak pasangan ini manakala seorang lagi dilaporkan terselamat.
USIM melalui hantaran di Facebooknya memaklumkan, perkara itu disahkan oleh Presiden Kesatuan Umum Pelajar Palestin di Malaysia, Ammar H. M. Mahariq.
“USIM melahirkan rasa dukacita di atas pemergian dua orang pelajar siswazah dan lebih 20 orang ahli keluarga mangsa akibat serangan bom rejim zionis di Gaza, Palestin pada pagi Ahad yang lalu,” kata kenyataan itu.
Mohammed J. H. Alzaanin baharu sahaja selesai menjalani sesi viva-voce di USIM pada 5 Julai yang lalu manakala isterinya dijadualkan menduduki ujian viva-voce pada 23 Oktober ini.
“Salam Takziah daripada seluruh warga USIM moga roh mereka ditempatkan bersama-sama orang beriman,” kata USIM.
Senentara itu dalam satu hantaran Facebook Bandar Baru Bangi Community (BBBC), keluarga berkenaan pernah menjadi sebahagian ahli kejiranan di kawasan berkenaan..
“Keluarga ini pernah menyewa di sebuah apartmen di Taman Sepakat Indah, Bandar Baru Bangi. Keluarga ini pulang ke tanah air mereka di Ga_ _za setelah suami dan isteri selesai pengajian PhD di USIM pada 10 September 2023,” kata hantaran itu.
