Putra tolak dua kerakyatan, tidak perlu kaji

SEPANG 29 Sept. – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) secara tegas menolak cadangan melaksanakan dasar dua kerakyatan susulan jawapan pertanyaan dalam sesi dialog di New York bersama Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Pengerusi Biro Undang-undang, Anti Rasuah dan Integriti Putra Zarina Zainal Abidin berkata, Kementerian Dalam Negeri dan Luar Negeri juga tidak perlu melakukan kajian cadangan itu seperti disarankan oleh Perdana Menteri.

Justeru, Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra itu menggesa seluruh rakyat Malaysia khususnya kaum Bumiputera untuk menentang cadangan berkenaan.

“Sesungguhnya, jawapan tersebut (cadangan dua kerakyatan) untuk meraih populariti dan terlalu berpolitik. Apakah wajar seseorang mempunyai dua kerakyatan?  Di manakah kecenderungan individu menumpahkan kesetiaannya?

Sepatutnya jawapan isu sensitif seumpama ini tidak dilayan dan dengan jawapan lebih tegas iaitu mana mungkin dan mustahil seseorang boleh memiliki dua kerakyatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengingatkan untuk memohon menjadi rakyat Malaysia mesti memenuhi syarat-syarat yang ketat mengikut undang-undang sedia ada malahan ada gesaan disyaratkan dengan lebih tegas iaitu menguasai Bahasa Melayu.

“Merujuk Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia kepada individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyataan.

“Hakikat utama yang cuba ditegaskan di sini ialah bahawa sesiapa sahaja iaitu rakyat yang telah dikesan memiliki dua kerakyatan perlu melucutkan salah satu daripadanya,” katanya.

Katanya,  kerajaan juga perlu bersikap tegas dan menolak pelaksanaan pengecualian Visa bagi warganegara China yang ingin masuk ke negara ini.

“Mengikut rekod Kementerian Dalam Negeri (KDN), lambakan warganegara China yang telah masuk ke Malaysia dalam tempoh di antara tahun 2018 hingga 2021 dikesan seramai 1.2 juta orang, dan mungkin lebih masih tidak ada direkodkan keluar dari negara ini.

“Ini suatu jumlah yang amat menggusarkan dan perlu di ambil tindakan telus dan tegas kerana ianya pelangaran undang-undng dan soal keselamatan negara. Ini yang patut diberi keutamaan bukan soal kerakyatan dan dikejutkan pula dengan  cadangan pengecualian Visa,” katanya.

Pelaksanaan perkara itu atas kepentingan merancakkan ekonomi boleh membawa padah kepada keselamatan negara dan masalah sosial yang kini pun sudah parah dan tidak terkawal.

“Putra dengan tegasnya mendesak Perdana Menteri dan Kabinet menolak cadangan memansuhkan visa untuk pelancong Cina dan India.

“Banyak lagi cara untuk merancakkan ekonomi. Buka minda serta pandangan yang lebih luas berkaitan perkara ini. Sedarlah bahawa hal ini mengundang mudarat daripada membawa keuntungan kepada negara dan rakyat “ katanya.

Related posts

Leave a Comment