SHAH ALAM 19 Sept. – DAP berjaya dalam tuntutan mendapatkan jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, apabila 34 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengundi Lau Weng San.
Weng San dari DAP yang juga bekas ADUN Banting, memperoleh 34 undi berbanding Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh memperoleh 22 undi dalam undian sulit yang diadakan hari ini.
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, DAP mencadangkan Weng San sebagai calon Speaker sekiranya gabungan PH-BN menang dan ini adalah syarat DAP menyerahkan kerusi DUN Dusun Tua kepada calon UMNO.
Pada mesyuarat bagi penggal pertama DUN Selangor ke-15, nama Weng San dicadangkan oleh ADUN Sekinchan yang juga bekas Speaker DUN, Ng Suee Lim dan disokong oleh ADUN Banting, V Papparaidu.
Manakala ADUN Sijangkang, Datuk Dr Yunus Hairi turut mencadangkan Dr Mohd Fuad sebagai Speaker dari Perikatan Nasional (PN) dan disokong oleh ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.
Setiausaha Dewan Negeri Selangor, J Gayathri kemudian memaklumkan undi sulit dilakukan berikutan terdapat dua nama calon Speaker yang dikemukakan.
Bagi Timbalan Speaker, ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri mencadangkan ADUN Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin sebagai Timbalan Speaker dan disokong ADUN Teratai, Yew Jia Haur.
PN menerusi ADUN Sabak, Sallehein Mukhyi pula mencadangkan ADUN Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah dan disokong oleh ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.
Selepas selesai proses undi sulit, Mohd Kamri memperolehi 34 undi manakala Mohd Shafie Ngah mendapat 22 undi.
Pada mesyuarat itu, seramai 56 ADUN termasuk 22 ADUN daripada PN mengangkat sumpah.
Majlis angkat sumpah dimulakan dengan Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor.
Ia disusuli 10 EXCO kerajaan Selangor iaitu ADUN Kinrara, Ng Sze Han; Izham Hashim (Pandan Indah); Borhan Aman Shah (Tanjong Sepat); Ng Suee Lim (Sekinchan); Datuk Rizam Ismail (Sungai Air Tawar); Najwan Halimi (Kota Anggerik); Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama); V Papparaidu (Banting); Dr Fahmi Ngah (Seri Setia) dan Anfal Saari (Taman Templer).
Pada PRN 12 Ogos lalu, gabungan PH-BN membentuk kerajaan negeri Selangor selepas menang 34 daripada 56 kerusi DUN manakala PN menang 22 kerusi.
