KUALA LUMPUR 15 Sept. – Aktivis pembangkang, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Che GuBard yang ditahan semalam selesai memberi keterangan kepada polis pada pukul 2.15 pagi di sini, hari ini.
Keterangan itu bagaimanapun, dikatakan tidak ada kena mengena dengan perhimpunan yang dirancang esok.
Perkara itu dimaklumkan Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari, menerusi hantaran di laman Facebooknya, pagi ini.
“Alhamdulillah CikguBard dibebaskan pagi ini jam 2.15 selepas diambil keterangan.
Jalan terus! Selamatkan Malaysia,” katanya.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata penahanan dilakukan disebabkan kegagalan Badrul Hisham menghadirkan diri selepas dipanggil polis berkaitan siasatan kes lain.
Katanya, sebelum ini pihak polis sudah memanggil Badrul Hisham berhubung enam laporan polis yang dibuat terhadap kenyataannya.
Menurut Mohd Shuhaily, polis sudah beberapa kali memanggil Badrul Hisham untuk rakaman percakapan tetapi beliau gagal hadir membantu siasatan termasuk mengemukakan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah.
