ALOR SETAR 15 Sept. – Seorang anggota Exco kerajaan negeri Kedah mendakwa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri itu tidak dibenarkan menghadiri program yang dianjurkan kerajaan negeri.
Justeru Dr Haim Hilman Abdullah yang juga EXCO Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, menuntut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberikan penjelasan berhubung isu itu.
“Saya mengulas satu perkara yang kita perlu beri perhatian serius iaitu berkaitan halangan Kerajaan Persekutuan atau pun secara khususnya KPT kepada IPTA seperti universiti, Politeknik dan Kolej Komuniti dari melibatkan diri dalam program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri khususnya negeri Kedah.
Baru-baru ini saya telah menjemput institusi ini untuk bersama dalam program berkaitan dengan mahasiswa anak Kedah namun demikian saya difahamkan oleh insitusi ini bahawa mereka tidak dibenarkan oleh kementerian ataupun jabatan yang bertanggungjawab untuk melibatkan diri.
“Sekiranya ini benar maka ianya satu yang begitu malang buat anak-anak muda kita yang harus kita persiapkan dan perbezaan politik antara kerajaan negeri dan Persekutuan sepatutnya tidak menjadi halangan buat kita bekerjasama,” katanya dalam kenyataan menerusi video yang dimuat naik di Facebook semalam.
Bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata KPT harus melihat perkara itu secara lebih luas dan berlapang dada kerana mahu mengutamakan masa depan anak muda daripada perbezaan politik.
Katanya ia adalah satu yang merugikan apabila kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam agenda pembangunan sumber manusia namun tidak mendapat sokongan yang sebaiknya daripada KPT.
