Ka Siong dicabar bagi jawatan Presiden MCA

KUALA LUMPUR 11 Sept. –  Bekas ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Tan Chong Seng akan mencabar Presidennya, Wee Ka Siong untuk jawatan nombor satu parti itu dalam pemilihan yang dijadualkan pada 24 September ini.

Bagaimanapun Timbalan Presiden MCA, Mah Hang Soon dan Timbalan Ketua Wanita MCA, Tee Hooi Ling menang tanpa bertanding

Tujuh calon lagi akan merebut empat jawatan naib presiden parti termasuk penyandang Ti Lian Ker, Lim Ban Hong dan Tan Teik Cheng yang akan mempertahankan jawatan masing-masing.

Turut sama,  Ketua Pemuda MCA Wong Siaw Ting, Ahli Parlimen Tanjung Piai Wee Jeck Seng, Timbalan Setiausaha Agung MCA Pamela Yong dan Timbalan Bendahari Agung MCA Lawrence Low.

Seramai 48 calon akan bersaing untuk 25 jawatan bagi menganggotai Jawatankuasa Pusat MCA.

Jawatan ketua Pemuda MCA pula membabitkan pertembungan tiga penjuru antara Exco Johor Ling Tian Soon, Setiausaha Agung Pemuda MCA Wa Wai How dan ahli Pemuda MCA Klang Chan Kee Siang.

Ketua Wanita MCA, Wong You Fong dijangka mempertahankan jawatannya dalam pertarungan satu lawan satu dengan Ooi Siew Kim.

Sementara itu Ka Siong melalui Facebooknya menyifatkan pertandingan itu menunjukkan proses demokrasi kekal subur dalam parti itu.

“Syukur, proses penamaan calon bagi Jawatankuasa Pusat MCA 2023 berjalan dengan lancar hari ini, menyaksikan gelanggang bagi merebut kesemua jawatan di peringkat pusat dan sayap Pemuda serta Wanita kini membuka tirai.

“Terima kasih atas kepercayaan kepada saya untuk mempertahankan jawatan Presiden MCA bagi pemilihan parti kali ini. Justeru, saya merayu kepada perwakilan untuk memberikan mandat kepada saya agar saya dapat terus membangunkan parti dan melaksanakan pembaharuan sewajarnya,” katanya.

Ka Siong berkata, seperti dalam manifesto, beliau akan memperkenal dan melaksanakan tiga pembaharuan besar untuk memulih serta membina semula parti.

“Saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan parti MCA menjadi lebih kuat dan dapat memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat. Kepada perwakilan, saya Wee Ka Siong, calon nombor 2 merayu undi daripada anda semua. Terima kasih,” katanya.

MCA akan mengadakan pemilihan bagi peringkat Pusat pada 24 September ini manakala pemilihan sayap Pemuda dan Wanita ditetapkan pada 23 September, seterusnya Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 21 dan 22 Oktober.

Related posts

Leave a Comment