KLANG 9 Sept. – Jabatan Peguam Negara perlu memastikan umum yakin kepada keputusan Peguam Negara itu melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata, institusi berkenaan perlu mengambil langkah sepatutnya bagi memastikan umum terus yakin dengan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang di negara ini.
Katanya, persoalan kini bukan mengenai penerimaan DAP pada penjelasan yang diberikan tetapi keyakinan dan penerimaan umum kepada keputusan Pejabat Peguam Negara itu.
Loke berkata penjelasan Peguam Negara amat penting untuk rakyat memahami isu sebenar dan bukan sekadar memuaskan hati pihak yang menyuarakan bantahan dan kebimbangan berhubung perkara itu semata-mata.
“Semestinya perlukan penjelasan (daripada Pejabat Peguam Negara) sama ada cukup sekadar penjelasan kepada umum, DAP tetap dengan pendirian.
“Satu penjelasan perlu diberikan tapi apakah jenis penjelasan itu saya tidak boleh paksa Peguam Negara untuk beritahu apa yang perlu dijelaskan. Terpulang kepada Peguam Negara untuk tentukan apakah penjelasan yang perlu diberikan.
“Tidak ada persoalan sama ada DAP terima atau tidak, tapi kepercayaan masyarakat mengenai sistem perundangan, itu yang saya nyatakan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim,” katanya kepada media selepas merasmikan Kongres Wanita DAP di Grand Centro di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Wanita DAP, Chong Eng; Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli dan Setiausaha Agung Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar.
Loke mengulas penjelasan Peguam Negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh bahawa keputusan memohon menghentikan kes mahkamah Ahmad Zahid itu dibuat berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan adalah mengikut budi bicaranya.
Terrirudin berkata, kenyataan itu sendiri merujuk kepada Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang jelas memperuntukkan budi bicara penuh kepada Peguam Negara untuk antara lainnya menghentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.
“Peguam Negara boleh menghentikan pertuduhan di mana-mana peringkat selagi penghakiman belum diberikan oleh mahkamah dan ini termasuk di peringkat selepas prima facie sudah dibuktikan.
“Penting juga dinyatakan bahawa ini bukanlah kali pertama sesuatu pertuduhan dihentikan selepas kes prima facie dibuktikan,” katanya.
Selasa lalu, DAP menggesa bekas Peguam Negara, Idrus Harun memberi penjelasan terbuka berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan terhadap Ahmad Zahid.
Loke dalam kenyataan itu berkata, DAP menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, penjelasan terbuka faktor perlu diberikan.
Isnin lalu, Mahkamah Tinggi melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) ingin menghentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.
Keputusan ini menyebabkan pelbagai pihak mendesak Peguam Negara memberikan penjelasan lanjut mengenainya.
