SEPANG 4 Sept. – Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menyatakan rasa kecewa melalui Sajak DNAA apabila Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Beliau mempersoalkan kenapa perkara itu terjadi ketika slogan reformasi dilaungkan untuk bebas dari rasuah dan menegakkan Integriti.
“Kita hari hari bercakap Basmi korupsi. Kita berdiri di tahaf moral yang tinggi
Bebas dari rasuah. Tegakkan intergriti Kita melaungkan slogan reformasi. Tetapi bolehkah rakyat percaya semua ini sekarang?,” soalnya.
Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepaskan Ahmad Zahid tanpa dibebaskan daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat ini.
Hassan turut membangkitkan mengenai “Prima facie telah terbukti, tiba-tiba hari ini
pertuduhan korupsi digugurkan, DNAA dihadiahkan. Keputusan dilepas tanpa dibebas diberi begitu begitu mudah saja? Begitu santai santai kelihatannya,”
Berikut teks penuh Sajak DNAA
Mengapa begini yang terjadi?
Kita hari hari bercakap Basmi korupsi
Kita berdiri di tahaf moral yang tinggi
Bebas dari rasuah
Tegakkan intergriti
Kita melaungkan slogan reformasi
Tetapi bolehkah rakyat percaya semua ini sekarang?
Prima facie telah terbukti
Tiba tiba hari ini pertuduhan korupsi digugurkan
DNAA dihadiahkan
Keputusan dilepas tanpa dibebas
diberi begitu begitu mudah saja
Begitu santai santai kelihatannya
Lalu aku bertanya di manakah kedaulatan undang undang yang ada?
Yang kerap diulang sebut di bulan kemerdekaan ini
Jangan murka bila aku menyoal lagi
Benarkah Perlembagaan negaraku ini luhur?
Tiada dua darjat dalam tafsiran hukum?
Satu untuk rakyat jelata
Satu lagi untuk mereka dari elit berkuasa?
Tiada hari yang aku berasa sedih seperti hari ini
Terasa kosong dan sia sia belaka
perjuangan yang aku anggap mulia selama ini
Kini aku persoalkan semula
Tetapi inilah yang terjadi
Orang yang rasuah dan pecah amanah
Boleh lepas dari hukum
Secara mudah mudah sahaja
Isyarat apa pemerintah hari ini ingin beritahu kepada dunia?
Hassan Abdul Karim
Pasir Gudang
04 September 2023
