SEREMBAN 5 Ogos – Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menawarkan manifesto mengandungi lapan inisiatif yang akan dilaksanakan sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Timbalan Pengerusi PN, Ahmad Faizal Azumu, ketika mengumumkan manifesto berkenaan berkata antara tawaran itu termasuk inisiatif Bantuan Prihatin Peniaga Nismilan dengan peruntukan geran RM4 juta setahun kepada penjaja dan peniaga kecil.
Selain itu Inisiatif Nismilan Muda akan diwujudkan bagi menyediakan latihan perniagaan digital kepada bakal usahawan muda dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1 juta setahun.
“Subsidi lesen motosikal B2 juga akan diberikan kepada pemohon lesen kali pertama dengan nilai RM300 setiap seorang.
Kita juga memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran termasuk aspek pendidikan pendigitalan di Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di Negeri Sembilan,” katanya, di sini, hari ini.
Ahmad Faizal berkata, peruntukan dana sebanyak RM5 juta akan disalurkan sebagai usaha merancakkan sektor pelancongan di negeri itu.
Pelbagai pendekatan digariskan bagi memastikan Negeri Sembilan menjadi antara destinasi tarikan utama pelancong domestik dan antarabangsa selain membangunkan ‘river cruise’ di Sungai Linggi dan Rembau,” katanya.
Di samping itu, PN Negeri Sembilan juga akan mewujudkan geran Prihatin Orang Kelainan Upaya (OKU) sebanyak RM3,000 kepada golongan berkenaan yang berdaftar dan layak untuk mengikuti latihan atau kursus tambahan sebelum memulakan perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Katanya, PN juga akan menambah baik infrastuktur awam ke arah menjadikan Negeri Sembilan yang mesra OKU dalam tempoh lima tahun selain meningkatkan akses pendidikan melalui peruntukan biasiswa khusus.
Sebuah jawatan kuasa dianggotai pakar dalam pelbagai bidang akan ditubuhkan untuk memantau sekali gus memastikan tawaran PN dapat dilaksana sepenuhnya.
