SYDNEY: Indonesia menghentikan import lembu hidup dari Australia selepas sebilangan kecil haiwan ternakan itu yang dibawa masuk dari negara terbabit dijangkiti penyakit kulit berketul atau ‘Lumpy Skin Disease’ (LSD).
Menteri Pertanian Australia, Murray Watt, berkata pemberhentian import lembu itu membabitkan empat fasiliti dari negara terbabit ke Indonesia.
Beliau berkata, kedua-dua negara kini bagaimanapun sedang bekerjasama untuk meyakinkan pengguna bahawa semua haiwan yang dieksport dari Australia mematuhi keperluan Indonesia, termasuk bebas daripada LSD.
“Ujian diagnostik pantas terhadap ternakan lembu mula membantu memulihkan eksport daripada fasiliti yang terjejas,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata eksport lembu ke Indonesia diteruskan dari fasiliti lain sementara satu taklimat berkaitan isu berkenaan juga akan diadakan melalui atas talian malam ini.
LSD, yang mengurangkan pengeluaran susu, adalah penyakit berjangkit disebabkan virus dan disebarkan melalui gigitan serangga yang menghisap darah seperti nyamuk dan kutu, terhadap lembu serta kerbau.
Penyakit itu menyebabkan lepuhan pada kulit, demam akut, cecair keluar daripada mata dan hidung, air liur meleleh, kesan seperti luka di seluruh badan serta kesukaran untuk makan bagi lembu.
Penularan wabak itu menyebabkan penternak lembu rugi kerana ia ia bukan saja boleh mengakibatkan kematian, sebaliknya turut menjejaskan pengeluaran susu termasuk membuatkan haiwan itu kurus serta mengurangkan kadar kelahiran.
LSD pertama kali dilaporkan dalam ternakan di Indonesia awal tahun lalu.
Australia bagaimanapun tidak menyatakan jumlah penghantaran yang akan terjejas susulan keputusan Indonesia itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Veterinar Australia, Mark Schipp, berkata keputusan positif LSD dalam kalangan lembu yang tiba di Indonesia adalah tidak dijangka.
Data menunjukkan Indonesia adalah pasaran terbesar untuk eksport lembu hidup Australia, dengan menyumbang kira-kira kira-kira AUD$900 juta (RM2.7 bilion) atau 56 peratus daripada keseluruhan eksport pada 2021 dan 2022.
