Dikenang sebagai pelopor Menu Rahmah

SALAHUDDIN Ayub, 62 akan turut dikenang sebagai pelopor Menu Rahmah, sejak diberi tanggungjawab menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menu Rahmah, satu menu popular, menampilkan sajian dengan jualan harga mampu milik iaitu RM5 bagi membantu rakyat ketika berdepan dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Jenama Rahmah mendapat sambutan luar biasa bukan saja rakyat, malah segmen peniaga kecil dan francais yang tampil menyahut dan menyokong usaha tersebut.

Bermula dengan menu makanan, ia diperluas kepada penjualan produk lain seperti pakaian, kelengkapan sekolah serta barangan pengguna lain malahan kepada pakej menunaikan umrah yang menawarkan harga yang berpatutan.

Diharapkan usaha Allahyarham tidak berakhir dengan pemergiannya sebaliknya diteruskan dengan penambahbaikan demi membantu rakyat. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang beriman.

Dilahirkan pada 1 Disember 1961 di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian, Johor dan berketurunan peranakan Melayu-Cina, Salahuddin mendirikan rumah tangga bersama pasangannya, Datin Seri Fatimah Taha pada 1985.

Mereka dikurniakan enam orang cahaya mata.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Inggeris Serkat, Pontian (1967-1973), beliau menyambung persekokahan di Sekolah Menengah Inggeris Teluk Kerang, Pontian (1974-1976) dan di Sekolah Menengah Sri Perhentian, Pontian (1977-1978).

Selepas menamatkan pendidikan di Tingkatan 5, beliau meneruskan pengajian ke peringkat Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Penggawa Barat, Pontian dari 1979 hingga 1980.

Beliau juga mengikuti pendidikan agama di Sekolah Agama Kerajaan Johor dengan lulus Kelas Darjah Khas pada 1977.

Tamat pengajian persekolahannya, beliau seterusnya mengikuti program Diploma Pentadbiran Perniagaan di Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) (1982-1983), kemudiannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Sains Pembangunan Manusia) di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1984.

Salahuddin aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pernah dilantik sebagai Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Pontian 1981 hingga 1983.

Pada 1983, beliau melibatkan diri dalam dunia politik secara sepenuh masa selepas dilantik sebagai Naib Yang Dipertua Pas Pontian (1983-1987) diikuti Ketua Dewan Pemuda Pas Pontian (1987-1989).

Ini diikuti sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas Johor (1989-1999), serta pernah menjawat Exco Dewan Pemuda Pas Pusat bermula 1991 hingga 1995, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pusat (1995-1997) serta Setiausaha Dewan Pemuda Pas Pusat (1997-1999).

Pada pemilihan Pas 1999, Salahuddin dipilih sebagai Naib Ketua Dewan Pemuda Pas dan memegang tugas itu sehingga 2001, seterusnya memegang jawatan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat (2001-2003) serta Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat dari 2003 hingga 2009.

Pada pemilihan 2009, beliau menang bertanding bagi jawatan Naib Presiden Pas Pusat dan menggalas tugas itu sehingga 2015.

Ketika tercetus krisis kepemimpinan Pas pada 2015, beliau meninggalkan parti itu bersama bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan menubuhkan Amanah pada 2015, sebelum dilantik sebagai Timbalan Presiden.

Seorang ahli politik yang disegani rakan dan lawan serta lembut dalam tutur kata dan bicara, Salahuddin pernah menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian Kelantan selama dua penggal, mewakili Pas pada 2004 dan 2008.

Pada tahun 2013 bertanding atas tiket Pas di kawasan Parlimen Pulai, Johor tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Nur Jazlan Mohamed.

Bagaimanapun, Salahuddin menebus kekalahan itu pada tahun 2018 atas tiket Amanah dengan mengalahkan calon BN (UMNO), Pas dan Bebas dan mempertahankan kerusi itu pada PRU15.

Selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 pada 2018, Salahuddin dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau bagaimanapun terpaksa melepaskan jawatan pada 24 Februari 2020, selepas Kerajaan PH yang dipimpin Dr Mahathir hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen.

Salahuddin bagaimanapun kembali menganggotai Kabinet berikutan pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU15.

Sebelum itu, pada Pilihan Raya Negeri 2022, Salahuddin memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Muar selepas memperoleh 8,749 undi menewaskan tiga pencabarnya dari BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pejuang.

Related posts

Leave a Comment