Kadar inflasi lebih rendah di bawah Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR 11 Julai –  Kenaikan harga barang dan perkhidmatan atau dalam istilah ekonomi “inflasi” berada pada kadar yang lebih rendah sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih tampuk pentadbiran negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub, berkata sejak awal tahun ini, inflasi menunjukkan trend mereda, di mana kadarnya pada Mei lalu adalah 2.8 peratus.

Berbanding April lalu, beliau berkata kadar inflasi pada bulan itu adalah 3.3 peratus, manakala Mac mencatatkan 3.4 peratus dan 3.7 peratus masing-masing direkodkan pada Februari dan Januari lalu.

“Kalau inflasi yang dinyatakan ini adalah lebih rendah jika dibanding pada November 2022 sebelum Kerajaan Perpaduan memerintah di mana inflasi pada masa itu berada pada kadar 4.0 peratus,” katanya.

Mengulas inflasi pada Mei lalu yang mereda, Salahuddin berkata, ia disumbangkan antaranya oleh inflasi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang mereda pada 5.9 peratus, berbanding 6.3 peratus pada April.

Subkumpulan makanan di rumah pula, jelasnya mencatatkan kadar inflasi lebih rendah iaitu pada 4.3 peratus (Mei lalu) berbanding 5.0 peratus (April lalu).

Manakala subkumpulan makanan di luar rumah kekal pada kadar 8.1 peratus bagi April dan Mei 2023.

“Prestasi inflasi yang semakin baik ini adalah hasil usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan bagi mengekang kenaikan harga yang tidak terkawal, terutama bagi barang makanan dan barang keperluan asas,” katanya.

Beliau berkata, KPDN akan terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia Madani dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini.

Terdahulu, Salahuddin turun padang bagi membuat pemantauan dan sesi pemeriksaan harga barang di Econsave Setapak Central, Kuala Lumpur.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha PPDN KPDN, Roziah Abudin, Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan KPDN, Rohaizi Bahari dan Pengarah Pejabat KPDN WPKL Ariffin Samsudin.

Related posts

Leave a Comment