SEREMBAN 7 Julai- Kerajaan bersetuju mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam selepas mempertimbangkan tiada kenaikan diberikan bagi suatu jangka masa yang agak lama, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, perbincangan awal mengenainya akan dibangkitkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri, minggu hadapan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pertimbangan itu wajar dibuat selepas mengambil kira skim gaji penjawat awam sedia ada ketika ini berada di tahap yang rendah.
Sebelum ini, Anwar ketika merasmikan Sambutan Hari Pekerja 2023 memberi jaminan akan menilai dan mengkaji semula gaji penjawat awam yang disifatkan masih tidak memuaskan dan ia membabitkan pekerja gred rendah dan menengah.
Bagaimanapun Anwar hari ini tidak menetapkan jangka masa khusus bagi perbincangan itu mahupun peratusan kenaikan yang dijangka diberikan, selain menyifatkan perbincangan mengenainya masih di peringkat awal.
“Gaji penjawat awam paling akhir dinilai semula pada 2013 dan ia suatu tempoh agak lama. Maka, pandangan sudah dikemukakan kepada saya oleh Zulkapli (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed) dan Mohd Zuki (Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali) untuk memulakan pasukan mengkaji dan saya bersetuju (dengan syor berkenaan).
“Kita akan bentangkan kepada Jemaah Menteri supaya diberikan kelulusan dan pasukan ini boleh memulakan kerja dan memberikan cadangan kepada kerajaan untuk meningkatkan (skim gaji penjawat awam),” katanya.
Katanya, walaupun terikat dengan kekangan kewangan sedia ada, pertimbangan wajar diberikan setelah keseluruhanya, upah dan gaji penjawat awam ketika ini masih ditahap rendah.
“Jangkaan tempoh perbincangan akan diserahkan kepada Zulkapli, manakala unjuran kenaikan pula masih terlalu awal untuk dinyatakan, tetapi ia harus ada,” katanya selepas Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), hari ini.
Pada 2013, Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak dilapor bersetuju memberi faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) kepada semua penjawat awam.
Pemberian kenaikan antara RM80 hingga RM320 yang membabitkan perbelanjaan bernilai RM1.5 bilion itu diawalkan pada 1 Julai 2013.
Najib antara lain dipetik berkata, semua struktur gaji maksimum dalam jadual Gaji Minimum-Maksimum akan diperuntukkan tambahan kenaikan gaji tahunan sebanyak tiga KGT, berkuat kuasa 1 Januari 2013.
Ia bagi membolehkan seramai 182,434 pegawai yang berada di gaji maksimum mendapat faedah pergerakan gaji tahunan mulai 2013, tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa.
