Pertemuan dua bekas PM

KUALA LUMPUR 5 Julai – : Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin malam tadi bagi menjalin kerjasama untuk gerakan Proklamasi Orang Melayu.

Difahamkan, kedua-dua pemimpin berkenaan mengadakan pertemuan hampir dua jam di kediaman Dr Mahathir di sini.

Adalah dipercayai pertemuan kedua-dua bekas Perdana Menteri itu yang pertama sejak Langkah Sheraton pada 2020 yang membawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir tumbang dan Muhyiddin mengambil alih sebagai Perdana Menteri.

Pertemuan Dr Mahathir-Muhyiddin itu menyusul sehari selepas kunjungan Pengerusi PN Selangor, Azmin Ali ke atas Dr Mahathir, yang turut membincangkan isu orang Melayu.

Muhyiddin dan Azmin adalah antara pemimpin politik utama yang menggerakkan Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Pertemuan malam tadi turut dihadiri Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Khairuddin dalam satu kenyataan berkata, pertemuan dua tokoh pemimpin Melayu itu akan memberi semangat baharu kepada gerakan Proklamasi Orang Melayu bagi memacu agenda serta menguatkan kedudukan anak bangsa.

Katanya , perjumpaan itu sangat bermakna kerana ia adalah satu manifestasi penyatuan Melayu secara menyeluruh yang sedang diusahakan Dr Mahathir demi memenuhi harapan serta impian orang Melayu.

“Kedua tokoh pemimpin Melayu ini sanggup ketepikan segala perbezaan fahaman politik lampau demi menjaminkan kelangsungan perjuangan untuk memperkasakan kedudukan anak bangsa di bumi bertuah ini.

“Sifat terpuji Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi satu sandaran baharu kepada keseluruhan orang Melayu yang amat ‘dahagakan’ penyatuan atau perpaduan Melayu secara mutlak.

Bangsa Melayu sedang menuntut penyatuan yang jitu demi memperkasakan semula kedudukan anak bangsa supaya menjadi satu bangsa yang dihormati oleh semua pihak baik di dalam mahupun luar negara,” katanya.

Media minggu lalu melaporkan, bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berhasrat menemui Ahli Parlimen Pagoh itu bagi menjelaskan mengenai tujuan Proklamasi Orang Melayu.

Dr Mahathir sebelum ini turut menyatakan kesediaan beliau untuk bekerjasama dengan Muhyiddin pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dalam reaksi balas, Muhyiddin menyatakan kesediaan beliau sedia bekerjasama dengan Dr Mahathir demi matlamat memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.

Related posts

Leave a Comment