SHAH ALAM 6 Julai – Tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disandang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.
Mereka ialah Teng Chang Khim (DAP), Dr Siti Mariah Mahmud (Amanah) dan V Ganabatirau.
Chang Khim, 60 yang memegang portfolio Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), pernah mengeluarkan kenyataan pada 2020 untuk tidak bertanding pada PRN.
Memulakan kerjaya politik sejak 28 tahun lalu, Chang Khim sentiasa memenangi kerusi DUN ditandingi iaitu Bukit Gasing (1995-1999), Bandar Klang (1999-2004), Sungai Pinang (2004-2018) dan Bandar Baru Klang (2018-2023).
Selain ADUN, anggota DAP sejak 33 tahun lalu itu juga pernah diberikan tanggungjawab sebagai Speaker DUN Selangor sebelum dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri selama 10 tahun.
Dr Siti Mariah, 65 pula telah tiga penggal menyandang pelbagai jawatan termasuk Ahli Parlimen, ADUN serta Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga.
Wakil rakyat Seri Serdang itu sebelum ini menyatakan tidak mempertahan kerusi DUN berkenaan berikutan mahu menumpukan program kemasyarakatan selain memberi peluang kepada muka baharu untuk berada dalam pentadbiran negeri.
Beliau memenangi kerusi Parlimen Kota Raja sejak 2008 dan dipindahkan ke kerusi DUN Seri Serdang pada 2018
Ketua Angkatan Wanita Amanah itu akan membantu membimbing bakal pemimpin dan aktivis baharu dalam bidang politik terutama wanita.
Sementara itu, Ganabatirau yang juga ADUN Kota Kemuning memegang portfolio Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja, mengesahkan tidak bertanding dan hanya menurut perintah pucuk pimpinan.
Beliau adalah Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP dan Naib Pengerusi DAP Negeri Selangor.
