Terengganu cadang bubar esok

KUALA TERENGGANU 27 Jun – Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dijangka  dibubarkan esok bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau menyatakan demikian selepas selesai menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu memohon perkenan cadangan tarikh pembubaran DUN Terengganu pada esok dan kerajaan negeri menunggu perkenan baginda.

Ahmad Samsuri pada sidang media ringkasnya di luar pekarangan istana memaklumkan, satu kenyataan rasmi berkaitan pembubaran DUN Terengganu akan dikeluarkan selewat-lewatnya petang ini sebaik mendapat perkenan Sultan Mizan.

“Alhamdullillah, apa pun kita tunggu dokumen disahkan dan ditandatangani oleh Kebawah Duli (Tuanku) , baharu saya akan buat pengumuman, kita cadang pada esok.

Kita akan bagi kenyataan media sahaja kalau selepas dapat tanda tangan yang disahkan Tuanku, Insya-Allah, selewat-lewatnya petang ini akan ‘release’ (keluar),” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden Pas itu memasuki pintu pagar utama Istana Syarqiyyah di Chendering, di sini, pukul 8.38 pagi dan kenderaan yang membawa Ahmad Samsuri meninggalkan pekarangan Istana Syarqiyyah, pukul 9.18 pagi.

DUN Terengganu akan terbubar secara automatik pada 30 Jun ini selepas tempoh penggal berakhir.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pas yang menguasai 22 kerusi DUN berjaya merampas Terengganu daripada BN yang memenangi 10 kerusi DUN.

Related posts

Leave a Comment