SEPANG 20 Jun – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji.
Baginda berdua menaiki pesawat khas yang berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3 petang.
Turut serta mengiringi baginda adalah Mufti Selangor, Dr Anhar Opir; Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Abdul Karim Maaseng Al-Makki dan Pengurus Tabung Haji (TH) Travel and Services, Syahrimi Ilias.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan berangkat bagi mengucapkan selamat berangkat kepada Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor.
Hadir sama mengucapkan selamat berangkat adalah Menteri Besar Amirudin Shari.
Timbalan Mufti Selangor, Prof Madya Dr Miszairi Sitiris membacakan doa memohon agar perjalanan Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Noorashikin diberkati serta permudahkan segala urusan sepanjang berada di Tanah Suci.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Noorashikin serta rombongan dijangka berangkat pulang ke tanah air pada 4 Julai ini.
