“Betulkan dulu apa berlaku dalam rumah”

SEPANG 3 Jun –  Pergerakan Pemuda UMNO tidak akan menjemput wakil mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan ke Perhimpunan Pemuda sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 minggu depan.

Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Salleh berkata, keputusan sebulat suara itu dicapai menerusi undian yang telah dibuat melibatkan barisan Exco dan Ketua Pemuda UMNO negeri.

“Ini ruang untuk kita perjelas,meluah dan perbetulkan apa yang menjadi tanda tanya di kalangan adik beradik kita. Selesaikan hal adik beradik kita dahulu sebelum menjemput orang luar datang dan masuk ke rumah kita.

“Ini rumah kita. Kita nak jaga rumah kita. Nak betulkan dulu apa yang berlaku dalam rumah kita, sebelum nak jemput orang luar masuk dan duduk bersama kita,” katanya lagi dalam satu hantaran melalui Facebooknya hari ini.

Menerusi video yang turut dikongsi pada kenyataan itu, Akmal berkata persidangan sayap itu nanti merupakan ruang untuk Pemuda UMNO memperbaiki hubungan antara mereka.

“Sebab itu pada kali ini insya-Allah untuk persidangan kali ini Pemuda UMNO tidak akan menjemput mana-mana parti, sebab bagi saya pada kali ini adalah masa untuk kita perbaiki dahulu hubungan rumah kita.

“Adik-beradik kita ini ada yang rasa tidak puas hati, keliru. Sudahlah keliru dalam rumah kita, dijemput orang lain datang lagi bertambah keliru,” katanya.

Tambahnya, sekiranya hubungan antara Pemuda UMNO sudah pulih, tiada maslah untuk sayap itu mengajak parti sayap lain dalam kerajaan perpaduan bersama-sama dalam PAU tahun depan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan kesemua presiden parti komponen Kerajaan Perpaduan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijemput menghadiri PAU 2023.

Ditanya mengenai pendirian Pemuda sebelum ini, Asyraf berkata pada kebiasaannya, jika UMNO sendiri yang menjemput parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan maka sayap parti akan mengikutinya.

PAU 2023 akan membuka tirai pada 7 hingga 10 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Related posts

Leave a Comment