KUALA LUMPUR 2 Jun – “Jangan tembak kaki sendiri”. Itu ingatan kepada pemimpin UMNO supaya berhenti daripada terus menyalahkan sesama pimpinan di bawah Kerajaan Perpaduan, kerana ia tidak mendatangkan keuntungan kepada mana-mana pihak.
Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata UMNO sebagai parti komponen kerajaan, perlu terus fokus untuk memastikan negara bergerak ke hadapan, mengutamakan kesejahteraan rakyat, dan terhadap pentadbiran negara.
“Kita perlu membendung dan menguruskannya kerana tidak ada gunanya jika kita terus menyerang sesama sendiri dan ‘menembak kaki sendiri’ untuk memuaskan hati segelintir masyarakat.
“Ia tanggungjawab bersama apabila kita membentuk kerajaan. Ia bukan tugas satu orang saja dan kita perlu menghentikan tindakan menyalahkan semasa sendiri ini,” katanya di sini hari ini.
Asyraf Wajdi diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi, yang mendakwa tidak melihat langkah signifikan untuk manfaat ekonomi negara yang digerakkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Mohd Puad turut mempersoal apakah Rafizi tidak mempunyai persiapan untuk menggalas tugas sebagai menteri, selain mengaitkan prestasi Timbalan Presiden PKR itu dengan desas-desus kemungkinan berlakunya rombakan Kabinet.
Susulan kenyataan itu, Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin, berkata, Mohd Puad tidak peka dengan perkembangan ekonomi negara apabila mempersoalkan langkah diambil kerajaan bagi mengatasi masalah ekonomi rakyat.
Beliau berkata hakikatnya pergerakan sektor ekonomi kini mula merancak, malah kemasukan pelaburan yang jelas bakal merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dalam masa terdekat.
“Saya juga ingin mempersoal tahap pemikiran Puad bila beliau bertanya mengenai ketiadaan dasar yang lebih baik berbanding Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), adakah beliau maksudkan BR1M adalah dasar terbaik yang pernah ada?
“Jika ini tahap pemikiran Puad, saya ingin nyatakan BR1M bukanlah dasar terbaik kerana ia tidak dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat,” katanya dalam kenyataan.
