Belia sampaikan khutbah Jumaat di Perak

IPOH 18 Mei – Sempena Hari Belia yang disambut setiap 15 Mei, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan tema khutbah Jumaat esok (19 Mei) memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada golongan berkenaan.

Menurut Yang Dipertua Majlis Agama Islam Perak (MAIPK),  Mohd Annuar Zaini, khutbah bertemakan Belia Pewaris Negara Bangsa itu akan disampaikan di semua masjid di negeri ini.

Katanya, Sultan Nazrin turut memperkenankan pemimpin belia diberikan penghormatan membaca khutbah berkenaan.

“Susulan daripada itu Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak sudah mengemukakan 24 nama pemimpin belia kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak untuk mendapat tauliah sementara membaca khutbah di 24 masjid di negeri Perak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan guru-guru di negeri ini diberi penghormatan membaca khutbah Jumaat di beberapa masjid.

Khutbah bertemakan “Guru Insani: Pemangkin Membangunkan Masyarakat Bertamadun” adalah sebagai mengiktiraf peranan penting golongan itu kepada negara, bersempena dengan Hari Guru yang disambut 16 Mei.

Berdasarkan lampiran bersama kenyataan itu, Muhammad Syukri Alimar Shidi daripada Kelab Belia Abrar, Sungai Rokam diperkenankan tauliah untuk membaca khutbah di masjid negeri, Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh.

Pecahan 23 lagi masjid terpilih berkenaan membabitkan Masjid Al-Abidin, Kampung Pasir Puteh di daerah Kinta; Masjid Al-Falah, Taman Sri Kota di Larut Matang Selama; Masjid Sultan Idris Shah di daerah Hilir Perak; Masjid Ar-Rahmaniah, Kampung Sungai Wangi di daerah Manjung.

Selain itu, Masjid Abu Hurairah di daerah Batang Padang; Masjid Tuminah Hamidi di daerah Bagan Datuk; Masjid Yahya Ubudiah Kampung Banggol Belimbing di Lenggong; Masjid Sultan Yusuf Izzudin Shah di daerah Perak Tengah, Masjid Sultan Idris Shah II, Slim River di Mualim dan Masjid Al Khairiyah Rantau Panjang di Selama.

Bagi kawasan Gerik, terdapat lapan masjid yang terpilih iaitu Masjid Al Hamidiah Kampung Kenayat; Masjid Jamek Gerik; Masjid SDJ Al- Muhammadiah, RPS Kemar; Masjid Ridzuaniah, Kampung Bongor; Masjid Al-Amin, Kampung Tawai; Masjid Nurul Iman, FELDA Lawin Utara; Masjid SDJ Al-Falah Sungai Urat RPS Dala dan Masjid Rahmaniah Kampung Kerunai.

Baki empat lagi masjid terpilih adalah Masjid Ar-Rahmah, Kampung Bendang Kering dan Masjid Kampung Laneh, Lubok Merbau di daerah Kuala Kangsar serta Masjid Kampung Pasir Putih dan Masjid Al-Makmur, Kampung Sungai Galah di daerah kecil Kampung Gajah.

Related posts

Leave a Comment