SINGAPURA 13 Mei – Suhu 37 darjah Celsius direkod di negara ini hari ini, suhu tertinggi sepanjang tempoh 40 tahun, ketika gelombang haba meletus membakar sebahagian besar Asia Tenggara dan Selatan.
Menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) di Facebook.hari ini, suhu tertinggi hari ini menyamai rekod untuk puncak harian yang dicatatkan pada April 1983.
“Keadaan semasa yang panas dan kering dijangka berterusan esok. Taburan hujan sekejap-sekejap yang dijangka minggu depan boleh membantu mengurangkan suhu panas,” kata agensi itu.
NEA melaporkan Mei adalah antara bulan yang direkod paling panas dalam setahun.
Beberapa sekolah di negara ini turut memberi kelonggaran dalam peraturan pemakaian seragam sekolah susulan peningkatan suhu sejak beberapa hari kebelakangan ini,
Minggu lalu Vietnam merekodkan suhu 44.1 darjah Celsius, dengan syarikat elektrik memberi amaran bahawa sistem kuasa negara akan mengalami tekanan pada musim panas disebabkan gelombang haba yang dijangkakan.
Saintis berkata, pemanasan global memburukkan lagi keadaan cuaca dengan laporan terkini Panel Antara Kerajaan PBB mengenai Perubahan Iklim memberi amaran bahawa setiap peningkatan pemanasan global akan menambah bahaya yang berganda dan berlaku serentak.
