PUTRAJAYA 27 April – Kesemua 30 rakyat Malaysia yang diselamatkan dalam Misi Menyelamat Operasi Sudan (Ops Sudan) akibat pertempuran tentera tempatan di negara berkenaan, akan tiba di tanah air pada pukul 4 petang esok.
Mereka akan diterbangkan dari Jeddah, pada pukul 8 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan komersial Saudi Air pada pukul 4 petang waktu tempatan.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kepulangan
mereka sudah pastinya akan disambut oleh ahli keluarga terdekat dan sanak-saudara.
Zambry pada sidang media khas Ops Sudan, di Wisma Putra, petang ini berkata, pemimpin negara juga dijangka turut sama menyambut kepulangan rakyat Malaysia terbabit.
Terdahulu, Zambry berkata, semua 30 rakyat Malaysia terbabit selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Raja Faisal di Jeddah selepas menempuh perjalanan hampir sembilan jam dari Pelabuhan Sudan.
Beliau berkata, mereka tiba pada pukul 1.54 pagi tadi waktu Malaysia, bersama 22 rakyat negara lain.
Sebelum itu, mereka terlebih dahulu menempuh perjalanan darat yang sukar, sejauh 1,233 kilometer selama 30 jam, dari Khartoum untuk tiba di Pelabuhan Sudan.
