6 kes positif Covid-19 varian Arcturus

KUCHING 21 April – Setakat ini, sebanyak enam kes positif Covid-19 yang disebabkan oleh varian baharu XBB1.16 atau Arcturus dikesan, kata Timbalan Premier Sarawak,  Dr Sim Kui Hian.

Katanya, varian baharu yang berpotensi untuk meningkatkan jangkitan dan patogenik di bawah pemantauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu berpotensi untuk meningkatkan jangkitan dan patogenik.

“Ketika kunjung-mengunjung pada perayaan Aidilfitri, orang ramai harus peka dengan risiko peningkatan kadar jangkitan Covid-19 dan langkah pencegahan harus diamalkan seperti pemakaian pelitup muka serta menjaga kebersihan diri.

“Turut membimbangkan cuaca panas melampau sejak dua minggu lalu yang bukan saja boleh mencetuskan keadaan berjerebu, tetapi boleh menyebabkan strok haba,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Bertuntung Sempena Sambutan Aidilfitri 2023 di Kampung Sinar Budi Bari, Batu Kawa, malam tadi.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, orang ramai yang mengalami gejala seperti demam, selesema dan batuk perlu bertindak segera membuat pemeriksaan sendiri atau terus ke hospital.

Beliau berkata, langkah itu perlu untuk mengelak penyebaran wabak dan sebagai langkah bertanggungjawab kepada kesihatan diri serta orang sekeliling,

Varian Arcturus dikenal pasti menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak dalam kes positif Covid-19 di India baru-baru ini.

Beliau berkata, cuaca panas melampau yang sedang dialami juga mampu menjejaskan kesihatan kerana kualiti udara mudah tercemar akibat keadaan berjerebu.

Justeru orang ramai juga digalakkan memakai pelitup muka serta hadkan aktiviti luar untuk mengelakkan udara yang tidak sihat di samping minum banyak air atau kerap mandi untuk mengelakkan kesan cuaca panas seperti demam, batuk dan juga strok haba.

Related posts

Leave a Comment