SINGAPURA 8 April – Singapura dipilih sebagai negara anggota Suruhanjaya Dadah Narkotik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCND) bagi tempoh bermula tahun depan sehingga 2027.
Menteri Dalam Negeri Kedua Singapura, Josephine Teo berkata, ini adalah kali pertama Singapura berusaha mendapatkan keanggotaan badan penggubal dasar utama berkaitan dadah bawah PBB selepas menjadi pemerhati sejak 1997.
“Kami berbangga dipilih dan akan terbabit secara aktif bersama negara anggota lain ke arah menangani masalah dadah di dunia,” katanya melalui Facebook.
Kali pertama Singapura mengumumkan hasrat menyertai pemilihan untuk keanggotaan CND ialah pada April 2021, sebelum menjadi calon pada sesi ke-66 suruhanjaya itu yang berlangsung dari 13 hingga 17 Mac lalu di Vienna, Austria.
CND bersidang setiap tahun untuk meneliti dan menganalisis situasi dadah pada peringkat global, membangunkan strategi kawalan dadah antarabangsa, dan mengesyorkan langkah bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam usaha membanteras peningkatan ancaman dadah.
Pada sidang bulan lalu itu, Teo menegaskan, trend pembekalan serta penyalahgunaan dadah global adalah membimbangkan, terutama peningkatan liberalisasi penggunaan ganja untuk tujuan bukan perubatan.
Beliau mengulangi kenyataan berhubung strategi Singapura menangani isu dadah dengan menggunakan pendekatan pelbagai serampang serta holistik bagi mengurangkan permintaan dan pembekalan bahan terlarang itu.
Ia merangkumi pendidikan mengenai dadah, undang-undang ketat, usaha penguatkuasaan yang tegas, memfokus kepada program pemulihan dan integrasi semula untuk menjadikan Singapura bebas dadah.
Teo turut menyatakan komitmen Singapura, sekiranya dipilih sebagai negara anggota, untuk memberikan sumbangan bermakna kepada usaha CND, termasuk dalam perbincangan dasar dan pembangunan kapasiti, dengan berkongsi pendekatannya mengawal dadah serta pengalaman berkaitan.
(Foto FB Josephine Teo (empat dari kiri))
