KUALA LUMPUR 21 Feb. – Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mendakwa parti itu menjadi mangsa ‘pendakwaan terpilih’ selepas Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa atas dakwaan rasuah RM6.9 juta.
Sambil menyatakan rasa sedih kerana ini kali pertama Bersatu dibawa ke mahkamah, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, pihaknya juga menjangka perkara itu dilakukan oleh kerajaan PH-BN untuk melemahkan Bersatu.
Bercakap pada sidang media media di Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini, beliau berkata setiap parti politik memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti parti dan Perlembagaan membenarkan sumbangan diterima daripada ahli, orang ramai dan juga individu yang menyokong perjuangan parti.
“Setakat ini tidak ada satu pun undang-undang khusus untuk pembiayaan politik di Malaysia.
“Hari ini, parti Bersatu telah menjadi sasaran pendakwaan terpilih kerana menerima sumbangan dana politik yang secara tiba-tiba menjadi satu kesalahan jenayah,” katanya.
Katanya, PH dan BN juga telah menerima dana daripada penyokong, dan beliau mempersoalkan mengapa pemimpin mereka tidak didakwa di mahkamah.
“Kami sebenarnya jangka ini akan dilakukan oleh kerajaan PH-BN untuk melemahkan Bersatu selepas melihat sokongan yang semakin meningkat kepada Perikatan Nasional (PN).
“Kalau saudari ingat apa kenyataan yang dikeluarkan Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), dia kata sekarang ini dia tuduh kami kluster mahkamah dan selepas ini akan adalah satu kluster baru, mahkamah juga.
“Itu dah macam satu perkara yang dah awal-awal dirancang” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin dan beberapa pemimpin kanan Bersatu termasuk Hamzah Zainuddin dan Rina Harun hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi memberikan sokongan kepada Wan Saiful yang dituduh terbabit dalam rasuah membabitkan projek Jana Wibawa.
