KUALA LUMPUR 18 Feb. – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Ikmal Hazlan Ikhmal Hisham menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua pergerakan itu dalam pemilihan yang akan berlangsung bulan depan.
Anak ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz itu menghantar borang percalonan semalam.
“Dengan izin Allah SWT, saya memohon sokongan dan doa dari seluruh para perwakilan dan sahabat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia untuk memberi keyakinan dan dokongan kepada saya dalam membantu Pemuda UMNO untuk terus kekal relevan dan mendapat sokongan dari orang muda semula,” katanya.
Melalui hantaran di Facebooknya, beliau yang bakal memasuki usia 33 tahun mengajak anggota UMNO untuk sama-sama berjuang dengan penuh hikmah dan dedikasi dalam perjuangan yang panjang ini.
Bekas Pengerusi Kelab UMNO London itu berharap beliau diberi ruang untuk terus berkhidmat buat sayap Pemuda UMNO dengan peranan yang lebih signifikan dan cabaran yang lebih besar.
Ikmal Hisham sebelum berpindah kepada Bersatu adalah Ahli Parlimen Tanah Merah selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atas tiket Barisan Nasional (BN).
Beliau kemudian mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Tanah Merah dan meninggalkan parti itu, untuk menyertai Bersatu yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden.
Pada PRU15, Ikmal Hisham memenangi kerusi berkenaan menggunakan logo Pas.
