PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengunjungi kawasan operasi pasukan pencari dan penyelamat (SAR) Malaysia di Nurdagi, Gaziantep hari ini.
Anwar melalui catatan di Facebooknya berkata, beliau berpeluang melihat sendiri kesungguhan, kecekapan dan tahap profesionalisme yang tinggi sewaktu pengoperasiaan carilamat mangsa gempa bumi di kawasan tersebut.
“Saya dimaklumkan bahawa anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia telah menzahirkan pengorbanan dan keupayaan yang ternyata luar biasa.
“Pertemuan itu juga penuh dengan perkongsian pengalaman sewaktu operasi mereka,” katanya.
Sebelum berangkat ke Ankara bagi menemui rakan sejawatnya, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, beliau sempat menitipkan pesanan kepada pasukan agar terus komited mencurahkan bakti serta menjaga keselamatan sewaktu penugasan dan pengoperasian.
