KJ terima tawaran TMJ sertai JDT

KUALA LUMPUR 15 Feb. – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan pelantikan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (KJ) sebagai Penasihat Belia Johor dan Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim.

Menerusi  satu hantaran Facebook tengah hari ini, TMJ berharap pengalaman luas KJ dalam pelbagai bidang di negara ini akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan belia serta kemajuan bola sepak Johor.

TMJ dalam catatan itu memaklumkan “Saya telah bertemu dengan Khairy Jamaluddin dan bersetuju untuk melantik beliau sebagai Penasihat Belia Johor dan sebahagian Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim,”

Terdahulu ketika mengendalikan segmen Bekpes Hot pada hari pertama sebagai penyampai HotFM, pagi ini, Khairy memberi bayangan bakal menyertai kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Khairy atau nama sebenar, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, 47, berkata, keputusannya itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Insya-Allah dalam masa terdekat ini akan diumumkan pembabitan saya dengan JDT. Dahulu orang ingat saya tidak serius, tetapi saya memang ambil serius tawaran itu.

Sebelum ini pun, orang ingat saya tak serius hendak jadi DJ HotFM, tetapi, pagi ini saya berada di konti,” katanya

Menjawab pertanyaan rakan penyampai iaitu AG,  KJ memaklumkan, beliau tetap meneruskan tugas sebagai penyampai radio walaupun sudah bergelar CEO kelab terbabit.

“Rasanya tidak ada masalah kerana saya ‘multitasking’ (mahir buat banyak tugas),” katanya.

Sementara itu, Kelab Bolasepak JDT mengucapkan selamat datang dan tahniah kepada Khairy atas perlantikan sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah JDT dan sebagai Penasihat Belia Johor.

Bulan lalu, melalui hantaran di Instagram Story (IGs), Tunku Ismail  memberi bayangan melantik Khairy sebagai CEO kelab terbabit.

“CEO masa depan JDT dan penasihat belia Johor,” tulis Tunku Ismail.

Keinginan Tunku Ismail itu dilihat tepat di mana Khairy cukup meminati sukan bola sepak.

Malah, bekas Ahli Parlimen Rembau itu amat berpengalaman dalam hal ehwal bola sepak tempatan apabila pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2007.

Bekas Menteri Belia dan Sukan dari 2013-2018 telah mengilhamkan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bagi melahirkan pemain muda berbakat yang boleh dipasarkan ke luar negara.

Related posts

Leave a Comment