SPRM bebas siasat parti politik

PUTRAJAYA 2 Feb. – Kerajaan Perpaduan menegaskan untuk kekal bebas dalam mana-mana siasatan yang dijalankan oleh agensi penguat kuasa dan badan kehakiman negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan hari ini tidak akan mengulangi sikap kerajaan terdahulu yang  didakwanya menekan badan-badan yang bertanggungjawab menjalankan siasatan sedemikian.

Justeru kata Perdana Menteri, adalah tidak bertanggungjawab bagi tokoh-tokoh politik pembangkang membuat tohmahan Kerajaan Perpaduan campur tangan dalam urusan berkenaan.

Anwar menegaskan demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini

Mengulas mengenai siasatan ke atas Bersatu, Anwar berkata terdapat dua perkara dalam isu berkenaan iaitu laporan polis kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); dan laporan yang terima selepas mengisi jawatan sebagai Menteri Kewangan (MOF).

“Ada laporan polis yang dibuat kepada PDRM dan SPRM mengenai penggunaan dana oleh parti Bersatu dan kedua, adalah tugas saya di MOF yang melihat projek membabitkan proses tanpa tender serta perbelanjaan tinggi.

Jika kos tidak tinggi atau melambung tinggi, ia tidak akan menjadi isu (disiasat),” katanya yang memberi contoh projek seperti Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana WIbawa) dan tebatan banjir.

Katanya, perkara berkaitan perbelanjaan tinggi dan dana itu juga perlu dijelaskan untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPRM mempunyai kuasa yang tidak terbatas untuk menyemak mana-mana akaun parti politik di negara ini sekiranya agensi penguat kuasa itu menerima laporan dan mahu membuka siasatan.

“Tiada masalah dan arahan kita tidak terbatas kepada mana-mana parti… mereka (SPRM) boleh semak mana-mana parti. Bersatu tidak mendedahkan akaun tetapi ia didedahkan oleh pasukan penyiasat. Kalau SPRM dapat laporan dan menyiasat, saya tiada masalah.

Akaun-akaun itu diaudit dan dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengikut jadual yang ditetapkan, (secara) tahunan,” katanya.

Beliau berkata, setiap tindakan penguatkuasaan undang-undang hari ini perlu dilakukan lebih proaktif, lebih efisien dan dilakukan dengan lebih cepat.

“Kepercayaan pentadbiran hari ini adalah mengenai tata kelola kerajaan yang baik dan memusnahkan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment