KUALA LUMPUR 1 Feb. – Selepas empat tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong, Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena Hari Wilayah Persekutuan hari ini, merupakan yang terakhir disempurnakan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Semalam genap empat tahun baginda melafaz sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019.
“Istiadat Pengurniaan Darjah, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan pada pagi ini adalah merupakan kali terakhir yang dapat beta sempurnakan sebagai Yang di-Pertuan Agong,” titah baginda pada istiadat itu di Istana Negara hari ini.
Al-Sultan Abdullah yang merupakan Sultan Pahang melafaz sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong pada tarikh berkenaan, setelah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Januari 2019 bagi tempoh lima tahun.
Sempena istiadat pada hari ini, Al-Sultan Abdullah bertitah kenangan bersemayam di kota metropolitan ini akan kekal abadi dalam sanubari Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Beta dan Raja Permaisuri Agong merasa sangat bertuah dan sukacita dengan keramahan serta budi pekerti warga kota metropolitan ini yang telah sudi menerima kedatangan beta berdua. Pepatah Melayu lama ada berkata ‘tidak kenal maka tidak cinta’.
“Menerusi keberangkatan beta berdua ke seluruh pelosok kota raya, pusat-pusat beli-belah, masjid dan surau, kedai dan pasar, serta ketika menjamu selera di restoran dan gerai, beta berdua merasa sangat teruja dapat mengenali rakyat beta daripada pelbagai bangsa dan agama yang sentiasa tidak lekang dengan senyuman, tidak lokek untuk bermesra dan tidak segan untuk berbual bicara,” titah Seri Paduka.
Baginda bertitah, di sebalik kesibukan warga kota dengan urusan seharian, nilai
murni peradaban, toleransi dan kemesraan merentasi batas sempadan kemajmukan dan kepelbagaian masih lagi kukuh.
Justeru, Seri Paduka bertitah supaya rakyat menjadikan nilai murni itu sebagai asas dan kekuatan untuk membentuk Malaysia sebagai negara yang maju dan disegani.
Titah baginda lagi, rakyat perlu menghentikan segala pertikaian, menjauhi perbalahan serta menghindari permusuhan kerana perpaduan ialah kunci kepada masa depan negara yang gemilang.
Seri Paduka Baginda turut bertitah supaya semua menteri, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta warga kota menjaga kota raya ini sebagai bandar raya yang benar-benar bersih dan cantik.
“Jadikan bandar raya Kuala Lumpur bertaraf bandar raya kelas pertama bukan kelas kedua atau ketiga dan saya berharap impian ini akan menjadi kenyataan,” titah Seri Paduka Baginda.
