Berlapang dada UMNO bersama DAP

TIDAK pasti apakah reaksi perwakilan UMNO terhadap Ucapan Dasar Presiden Tahun 2020. Dewan Merdeka tidak terbuka untuk media mengikuti perbahasan secara langsung Perhimpunan Agung UMNO (PAU) seperti sebelum ini.

Tiada gambaran apa yang berlaku di dalam dewan. Suasananya panas atau hambar? Masih adakah seloka pantun yang sinis. Adakah perwakilan berterus terang? Apa yang menjadi tumpuan pembahas? Siapa yang boo, siapa kena boo?

Begitu juga persoalan mengenai Kerajaan Perpaduan. Adakah masih menjadi perdebatan atau semuanya kini berlapang dada menerima penjelasan yang dihuraikan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi?

Mungkin perwakilan sudah redha dan menerima realiti UMNO tidak ada pilihan kecuali bersama Pakatan Harapan (PH). Padamkan keputusan PAU yang mengisytiharkan “No Anwar, No DAP, No Bersatu”

Hari ini, selepas PRU15, “No Bersatu, Yes Anwar, Yes DAP” Pendirian PAU sebelum ini bukan hukum agama yang tidak boleh diubah. Ia tidak menyebabkan seseorang dimakan sumpah. Biasanya marah hanya sekejap. Hangat-hangat tahi ayam.

Begitulah politik. Ada saja pendirian yang boleh berubah. Tolak ketepi ikrar dan sumpah. Utamakan kepentingan negara. Realitinya, UMNO mesti membantu membentuk kerajaan. Soal dengan siapa, PN atau PH, itu hak parti.

Maka keputusan untuk bersama PH – PKR, DAP, Amanah perlu diiringi sokongan. Biar berat untuk diterima tetapi kepentingan negara mengatasi segala-galanya.

Ingat, seperti kata Ahmad Zahid, memilih gabungan parti lain sebagai gabungan bagi membentuk Kerajaan Perpaduan, adalah bersandarkan persefahaman awal di peringkat parti, bahawa tiada mana-mana parti boleh membentuk kerajaan.

Menyelak kembali PAU yang lalu, Presiden UMNO itu semasa Ucapan Dasar Presiden Tahun 2020 berkata:

“Adakah sesuatu yang mustahil untuk UMNO dan rakan-rakan kongsi politiknya membina “political reset” yang akan mewarnai landskap politik baharu di negara ini?

Biarpun tanpa perundingan dengan mana-mana pihak setakat ini, saya dapat merasai impian rakyat yang amat mengharapkan kewujudan sebuah ‘unity government’ demi kestabilan politik negara.

“UMNO sangat terbuka untuk melakukannya selepas PRU-15 nanti. Namun, terlebih dahulu UMNO wajib terus direlevankan dan mendominasi politik tanah air. Justeru, kita perlu dominan, baharulah kita relevan.

“Untuk itu, kepimpinan UMNO di semua peringkat dan seluruh akar umbi harus berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menghadapi reset politik ini”
(Note: Ucapan ini telah pun diluluskan sebagai dasar parti).

Maka terjawablah segala persoalan. Di sebalik ketegasan No Anwar, No DAP, No Bersatu, PAU 2020 juga meluluskan “political reset” dan “unity government”. Apa lagi yang hendak digembar gemburkan?

Kemudian ada yang bertanya kenapa PH dan tidak Perikatan Nasional (PN) ?

Jawapannya, UMNO telah mengadakan rundingan dengan PH dan PN, secara berasingan dua hari selepas PRU15. Dalam perundingan tersebut, UMNO meletakkan beberapa asas utama, termasuk dalam soal Islam / Melayu dan Bumiputera, yang perlu disepakati bersama.

Begitu juga dalam soal pembentukan Kabinet. UMNO menetapkan agar kerajaan yang dibentuk tidak boleh diidentitikan dengan nama parti. Sebaliknya mestilah dikenali sebagai KERAJAAN PERPADUAN MALAYSIA.

PH juga secara bertulis, menyatakan persetujuan, terhadap perkara-perkara asas utama yang perlu disepakati Bagaimanapun PN dalam maklum balasnya, hanya menyebut SEDIA MEMPERTIMBANGKAN perkara-perkara yang telah diusulkan.

PN juga menolak titah usulan Yang di-Pertuan Agong, supaya dibentuk Kerajaan Perpaduan. PN menolak kerana mendakwa mempunyai jumlah Akuan Bersumpah yang mencukupi, termasuk 10 daripada BN untuk membentuk kerajaan.

“Ini juga menjadi faktor kenapa kita tidak boleh bersama PN. Belum pun subuh, pengkhianatan telah dibuat terhadap parti kita. Lebih menyedihkan, ia diatur oleh orang kita sendiri,” kata Ahmad Zahid.

Begitulah akhirnya BN bersetuju, membentuk kerajaan bersama PH dengan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak.

Dan apabila keputusan ini dicapai, muncul pula suara-suara dalaman UMNO dengan hujah, bukankah kita telah buat keputusan No Anwar, No DAP? Namun kelompok yang bersuara ini, tidak pula menyebut PAU juga membuat ketetapan NO BERSATU.

Dibangkitkan lagi tuduhan UMNO melanggar keputusan PAU yang telah menyatakan No Anwar, No DAP.

Tetapi kata Ahmad Zahid, sebagai sebuah parti berperlembagaan, UMNO membuat keputusan sesuai dengan Perlembagaan. Dalam Perlembagaan UMNO Fasal 9.1 menyebut “Majlis Kerja Tertinggi adalah menjadi badan yang menjalankan pentadbiran hal-ehwal UMNO di bawah kekuasaan dan perintah Perhimpunan Agung dan Majlis Kerja Tertinggi adalah berkuasa menjalankan sebarang langkah bagi pihak Perhimpunan Agung pada masa ketiadaannya tetapi segala langkahnya itu hendaklah dimaklumkan kepada Perhimpunan Agung”.

Begitulah rasional UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan melibatkan PH yang di dalamnya ada Anwar, PKR dan DAP.

Eloklah, UMNO pula diberi peluang untuk bersama DAP. Sebelum ini, Pas juga pernah bersama DAP. Begitu juga dengan Bersatu. Masing-masing boleh merasai bagaimana kerjasama itu. Pas sudah tidak sanggup. Bagaimana pula dengan UMNO? Biarlah UMNO mencari pengalaman bersama DAP.

Hakikatnya memang sukar bagi UMNO untuk bersama DAP kerana sejak dari awal, UMNO sudah diajar untuk ‘memusuhi’ DAP. Tetapi realiti politik, musuh menjadi kawan, dan lawan menjadi kawan. UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan, bukan menyertai PH. Seperti kata seorang sahabat, seperti bukan Melayu ‘masuk’ Islam bukan masuk Melayu!

Related posts

Leave a Comment