718 kes baharu Covid-19

PUTRAJAYA 20 Dis. – Sebanyak 718 kes jangkitan baharu Covid-19 direkodkan semalam termasuk tiga kes import menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini meningkat kepada 5,018,584 kes.

Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 4,980,090 adalah kes tempatan manakala 38,494 kes import.

Menurut data portal KKMNOW,  dua kematian direkodkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan 36,808 orang meninggal dunia setakat ini termasuk 7,844 kes kematian yang berlaku di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID)

Sementara itu, sebanyak 15,541 kes aktif dilaporkan dan daripada jumlah itu, sebanyak 14,812 kes atau 95.3 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah dan tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC).

Sebanyak 685 pesakit atau 4.4 peratus mendapat rawatan di hospital, di mana 44 daripada mereka ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), iaitu 23 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Jumlah kes sembuh yang direkodkan semalam adalah 914 orang menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,966,235 pesakit sembuh.

Semalam Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan beberapa indikator Covid-19 menunjukkan penurunan termasuk kemasukan pesakit ke fasiliti kesihatan turun 21.6 peratus pada Minggu Epidemiologi (ME) 50/2022 berbanding minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi ME sepanjang tempoh 11 hingga 17 Disember itu jumlah kemasukan pesakit bagi kategori satu dan dua menurun sebanyak 28.6 peratus manakala kategori tiga, empat, lima menurun 31 peratus.

“Peratus pengisian katil fasiliti Covid-19 pada ME 50/2022 bagi katil bukan kritikal menurun sebanyak enam peratus manakala katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun sebanyak tujuh peratus.

“Peratusan pesakit Covid-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat sebanyak 0.8 peratus pada ME 50/2022 berbanding minggu sebelumnya,” katanya.

Selain itu bilangan kes baharu Covid-19 yang menjalani pemantauan di rumah turut menunjukkan penurunan sebanyak 39.5 peratus.

Begitu juga pesakit ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) menurun sebanyak 36.8 peratus dan kes yang dirujuk CAC ke hospital menurun sebanyak 45.2 peratus jika dibandingkan dengan minggu sebelumnya.

Bilangan kes baharu pada ME 50/2022 pula menurun sebanyak 33.7 peratus iaitu daripada 10,937 kes kepada 7,249 kes.

Beliau berkata, bagi tempoh ME sama bilangan kes import Covid-19 pula meningkat sebanyak 21.4 peratus (14 kes kepada 17 kes).

Bilangan kes kematian pada ME 50/2022 meningkat sebanyak 9.3 peratus iait 43 kes kepada 47 kes) dan purata kes aktif setiap hari bagi ME 49/2022 menurun sebanyak 19.3 peratus (20,945 kes kepada 16,895 kes)

Related posts

Leave a Comment