Sultan Selangor turut berdukacita

SHAH ALAM 17 Dis. – Sultan Selangor Sultan, Sharafuddin Idris Shah Alhaj terkejut dan berdukacita dengan tragedi tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan yang meragut banyak nyawa di Hulu Selangor awal pagi semalam.

Menerusi kenyataan di laman Facebook, Selangor Royal Office, semalam baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan takziah di atas tragedi berkenaan.

Baginda dan Tengku Permaisuri Norashikin rasa amat sedih dan simpati serta berkenan mengutus ucapan takziah kepada semua mangsa dan waris keluarga yang terlibat.

Difahamkan, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dijangka berangkat ke lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki 12 mangsa yang masih hilang dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di sini, disambung semula kira-kira pukul 7.30 pagi ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata operasi SAR terpaksa ditangguhkan sementara, malam tadi, atas faktor cuaca hujan.

Setakat malam tadi, seramai 21 mangsa disahkan terkorban, manakala 61 lagi berjaya diselamatkan dalam kejadian yang dilaporkan membabitkan sejumlah 94 orang.

Related posts

Leave a Comment