KUALA LUMPUR 16 Dis. – Seramai 13 mangsa dilaporkan terkorban setakat ini dalam kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan berhampiran Father Organic Farm, Batang Kali, awal pagi ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata mayat mangsa yang terkorban dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan ada yang masih di lokasi kejadian.
“Kita akan berkoordinasi dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL) khususnya kerana HKL ada kapasiti yang lebih besar,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa yang cedera dalam kejadian itu di Hospital Selayang, hari ini.
Dr Zaliha berkata, setakat ini, tujuh mangsa yang cedera sedang dirawat iaitu , tiga di Hospital Selayang, tiga di Hospital Kuala Kubu Baru dan seorang di HKL.
Katanya, berdasarkan pemantauan pegawai dan pasukan kesihatan Kementerian Kesihatan ke atas mangsa yang cedera di lokasi kejadian, sebahagian besar kes adalah dalam kategori zon hijau, dengan sebahagian dalam kategori zon kuning dan merah.
Bagi mangsa zon merah, dihantar ke Hospital Selayang, tiga kes di Selayang memerlukan pemerhatian, termasuk seorang wanita hamil, yang setakat ini dalam keadaan stabil.
“Seorang pesakit mengalami kecederaan di bahagian muka dan seorang lagi, kita bimbang mengalami kecederaan abdomen. Satu kes dihantar ke HKL kerana disyaki mengalami kecederaan tulang belakang,” katanya.
Dr Zaliha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pertama pada pukul 2.29 pagi dan terus bertindak pantas dengan menghantar seorang pakar serta dua pegawai perubatan ke lokasi kejadian.
(Foto FB KKM)
