Surat kepada Agong BN sokong Anwar?

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Di sebalik kebuntuan memilih Perdana Menteri Ke-10, kini tular sepucuk surat menggunakan kepala surat Barisan Nasional (BN) yang mendakwa BN bersetuju menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu tular di media sosial ketika pemimpin BN dititah menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Keputusan menjalinkan kerjasama itu dikatakan merujuk kepada hasil mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam untuk mengadakan kerjasama dengan PH dalam pembentukan kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Surat yang ditandatangani Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu  ‘menyatakan persetujuan’ Dewan Tertinggi BN bersama 30 ahli Parlimen untuk memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Setakat ini tiada mana-mana pihak dalam BN yang mengesah atau menafikan surat bertajuk ‘Pembentukan Kerajaan Persekutuan dan Penamaan Calon Perdana Menteri Ke-10 Pasca PRU15’ tersebut.

Warkah tiga muka surat itu antara lain menyebut, BN dan 30 ahli Parlimennya yang terpilih telah memberi mandat kepada Pengerusi BN untuk berunding dan memutuskan gabungan antara BN dengan mana-mana parti politik atau  gabungan parti politik bagi membentuk kerajaan pasca PRU15.

“Patik lampirkan di sini sesalinan 30 Akuan Bersumpah Penamaan Perdana Menteri Malaysia Ke-10 (Lampiran III). Ampun Tuanku.”, kata surat itu.

Seperti ditegaskan Ahmad Zahid sebelum ini, kandungan surat tersebut juga menyentuh mengenai mana-mana Akuan Bersumpah (SD) selain yang dipersembahkan kepada baginda adalah tidak sah.

“Patik juga ingin memaklumkan bahawa apa-apa dokumen bertulis sama ada dalam bentuk surat atau akuan oleh mana-mana 30 ahli Dewan Rakyat daripada Parti Barisan Nasional Malaysia atau daripada Parti-parti Komponennya yang menamakan seorang ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10 selain daripada yang di atas adalah tidak sah dan terpakai serta tidak patut dipertimbangkan yang mana lanya tidak mewakili dan menzahirkan keputusan Parti Barisan Nasional Malaysia.” 

Untuk rekod pada tahun 2020, tular juga surat kononnya yang ditulis Ahmad Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai sokongan dan kepercayaan tidak berbelah bahagi kepada Anwar sebagai Perdana Menteri seterusnya.

Surat bertarikh 11 Oktober  itu didakwa dihantar bersama sokongan ahli-ahli Parlimen lain untuk menarik balik sokongan dan kepercyaan kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun Ibu Pejabat UMNO kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa surat tersebut adalah palsu.

Related posts

Leave a Comment