BERAKAS 5 Dis. – Sama seperti semalam, 22 kes jangkitan harian Covid-19 direkodkan Brunei Darussalam hari ini termasuk dua kes import menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 15,186 kes.
Menteri Kesihatan, Dr Md Isham Jaafar pada sidang medianya berkata, terdapat tambahan 10 kes baharu pada lima kluster aktif yang sedia ada, yang merupakan kontak terdekat bersama beberapa kes positif sebelumnya.
Katanya, dua kes import pula tiba di Brunei Darussalam pada 29 November, salah satu kes dari Jakarta melalui Singapore Airlines SQ148 dan satu kes dari Manila menggunakan penerbangan Royal Brunei BI 686.
Beliau juga memberitahu, tujuh kluster ditutup berikutan tiada kes baharu direkodkan dalam tempoh 28 hari dan ini menjadikan jumlah kluster aktif setakat ini 111.
Manakala, 10 kes baharu masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.
Sebanyak 55 kes dilaporkan sembuh yang membawa jumlah keseluruhan di Negara Brunei Darussalam meningkat kepada 14,773 kes dengan jumlah kes aktif ialah sebanyak 313 kes.
“Dalam kalangan kes yang sedang ada dalam rawatan sekarang, satu kes adalah dalam Kategori 5 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif dan memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) juga bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ECMO).
“Sementara itu, terdapat satu kes lain dikategorikan dalam Kategori 4, iaitu yang di bawah pemantauan rapi dan memerlukan bantuan oksigen,” ujar.
Dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 4,807 sampel diuji bagi virus SARS-CoV-2, yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 638,521 ujian..
