Hadapi ujian dengan sabar

BERAKAS 28 Mei – Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah bertitah wabak koronavirus Covid-19 yang sedang melanda dunia sekarang adalah satu ujian yang ada hikmahnya untuk dihadapi dengan perasaan yang sabar.

Titah baginda, antara hikmah itu mungkin untuk menyedarkan atau mendorong kita supaya lebih bersatu menghadapi cabaran atau lebih kreatif memperkasa diri dengan kemahiran-kemahiran dan lain-lain yang seumpamanya.

Baginda kagum dengan sikap sabar yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat dan penduduk dalam memberikan dukungan padu kepada kerajaan dalam usaha menangani wabak.

Pada masa yang sama baginda mengingatkan rakyat supaya tidak leka dengan  meneruskan langkah berjaga-jaga, mematuhi SOP yang ditetapkan walaupun  sudah setahun terpelihara daripada jangkitan komuniti.

Bertitah pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) di sini semalam, baginda mengajak rakyat untuk terus berusaha dan membanyakkan doa supaya kekal terhindar daripada musibah.

Baginda mengulangi titah penghargaan kepada para petugas barisan hadapan (frontliners), termasuk petugas-petugas keugamaan di atas sumbangan dan komitmen mereka menangani dan menghadapi situasi yang menakutkan ini.

Mengenai tema sambutan kali ini iaitu ‘Mensyukuri Ni’mat Kesihatan Sebagai Anugerah Allah’, baginda menegaskan kesihatan merupakan anugerah dan nikmat yang tidak ternilai harganya.

Dalam usaha kerajaan membangun bangsa dan negara, kesihatan tegas titah baginda adalah faktor yang turut diutamakan kerana apabila rakyat dan penduduk sihat barulah sumbangan mereka dapat diharapkan berkesan.

Baginda turut melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat bersama merayakan Aidilfitri dalam suasana aman dan selesa.

“Pada tahun lepas, Aidilfitri kita sambut dalam suasana berbeza akibat penularan wabak yang melanda dunia. Namun alhamdulillah, negara kita sudah melimpasi setahun tidak mencatatkan kes penularan tempatan.

“Keadaan ini telah membolehkan kita mengurangkan pelbagai sekatan serta dapat meraikan Aidilfitri dengan lebih selesa,” titah baginda lagi.

Baginda juga mengajak rakyat supaya tidak lupa dengan saudara-saudara seagama di bumi Palestin yang sedang bergelut mempertahankan diri dan negara mereka daripada pencerobohan musuh.

“Bayangkan, akibat dari pencerobohan itu, ramai rakyat yang tidak berdosa menjadi korban, termasuk kanak-kanak, kaum perempuan dan orang-orang tua. Harta benda yang musnah, terutama rumah-rumah kediaman tempat berteduh.

Tidak diragukan lagi pencerobohan ini adalah satu tindakan kejam yang melangkahi lunas-lunas kemanusiaan. Hanya kepada Allah jua perhitungan,” titah baginda.

 

Related posts

Leave a Comment