PKPB Tongkang Pechah

PUTRAJAYA 27 Nov. – Kerajaan memutuskan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Tongkang Pechah, Batu Pahat, Johor bermula 29 November sehingga 13 Disember ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan tersebut dibuat selepas sebanyak 56 kes positif Covid-19 dikesan di kawasan tersebut, setakat ini.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah menjalankan ujian saringan ke atas 672 individu, dengan 302 sampel masih menunggu keputusan.

PKPB ini akan melibatkan seramai 16,300 penduduk di kawasan-kawasan seperti berikut: Bandar Putera Indah; Lorong 7 hingga 10; Batu 7; dan Kampung Mohd Nor.

Pelaksanaan PKPB ini membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan untuk mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di kawasan ini

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, aktiviti ekonomi masih berjalan seperti biasa, mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

Sementara itu PKPB di daerah Kuching yang dikuatkuasakan sejak 9 November lalu, ditamatkan hari ini setelah mendapat nasihat KKM berhubung status penularan kes di daerah tersebut.

Sehingga kini KKM memaklumkan bahawa baki kes aktif di daerah tersebut telah menunjukkan trend penurunan dan terkawal.

PKPB dikuatkuasakan di daerah Kuching bermula 9 hingga 22 November lalu dan kemudian dilanjutkan lima hari lagi sejak Isnin lalu.

Related posts

Leave a Comment