ALOR GAJAH 3 Nov. – Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan bagi mengumpul sumbangan awam bagi membantu bekas Perdana Menteri itu masih belum mencukupi, kata Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Bagaimanapun sumbangan terus diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk ada menyumbang serendah RM1, RM5 dan RM10 dengan kutipan harian mencecah sehingga RM10,000.
Beliau berkata, perkembangan kutipan itu dipantau setiap jam oleh pegawai di ibu pejabat parti UMNO bagi mengetahui jumlah sumbangan yang diterima.
Momentum dia baik, saya melihat setiap hari bantuan daripada orang ramai secara puratanya tidak kurang daripada RM5,000 hingga RM10,000, termasuk sumbangan sekecil RM10, RM5, bahkan ada yang RM1.
“Maknanya ini yang dipanggil ‘crowdfunding’ kita bantu Datuk Seri Najib melalui sumbangan yang diberikan orang ramai,” katanya ketika ditemui pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Inisiatif pengumpulan dana terbabit dijalankan sebagai usaha membantu bekas Perdana Menteri itu melunaskan denda RM50 juta dikenakan terhadapnya dan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Santai Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersama pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal di Bilik Gerakan Taman Angkasa Nuri, di sini, hari ini.
Turut hadir, calon BN DUN Durian Tunggal, Dr Mustafa Musa dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Zahari Khalil.
Menurut Asyraf, usaha mengumpul dana berkenaan masih diteruskan, manakala jumlah keseluruhan sumbangan belum diumumkan kerana pihaknya mahu menunggu masa sesuai untuk mendedahkannya.
“Insya-Allah, saya yakin cuma saya nak ada elemen kejutan sedikit. Biarlah bila tiba masanya kita akan umumkan,” katanya.
Mengulas mengenai nama Najib yang terus dibangkitkan pihak lawan dalam kempen PRN Melaka, Asyraf Wajdi berkata, beliau berpandangan rakyat masih mengingati pentadbiran bekas Perdana Menteri itu, khususnya dari segi kehidupan masyarakat berbilang kaum dan keadaan ekonomi.
Beliau mendakwa kehidupan rakyat ketika ini semakin sukar berbanding ketika Najib menjadi Perdana Menteri, termasuk berikutan peningkatan kos sara hidup dan pelbagai cukai yang memberi kesan kepada komuniti peniaga.
Menurut beliau, ketika Najib sebagai Perdana Menteri, rakyat berbilang kaum, berbilang agama boleh menikmati hidup dengan keadaan yang selesa dan tiada sebarang masalah.
Nnn
